Kerajaan Selangor perlu tetapkan dasar jelas, henti susahkan rakyat – Noh


KAJANG – Kerajaan Selangor perlu menetapkan satu dasar yang jelas untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah bagi mengelakkan orang ramai menghadapi masalah lebih-lebih lagi ketika negara dalam situasi darurat.

Malah, kerajaan negeri juga perlu menghentikan perkara-perkara yang boleh menyebabkan rakyat menjadi susah terutamanya peniaga kecil yang kini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Katanya, exco kerajaan negeri pula perlu diberi kuasa untuk membuat dasar-dasar yang menjurus kepada rakyat dan bukannya membuat sesuatu yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya minta kerajaan Selangor hentikan buat kerja-kerja gila ni…kenapa nak diganggu peniaga yang nak cari makan dalam keadaan negara tengah darurat?

“Ini bukan kali pertama berlaku, dulu pernah terjadi di Puchong dan sebelum ini di Rawang.

“Kalau ini boleh dibuat (dasar) saya yakin rakyat boleh cari makan dalam waktu darurat ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan pasar pagi di Bandar Sungai Long di sini hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meninjau aktiviti perniagaan di pasar pagi berkenaan selepas ia menjadi kecoh sejak beberapa hari lalu.

Baru-baru ini, peniaga Pasar Pagi Sungai Long menyuarakan ketidakpuasan hati apabila diarahkan menandatangani surat akujanji yang membolehkan mereka beroperasi di kawasan yang sama.

Mereka mendakwa dalam akujanji itu menyatakan para peniaga diarahkan berpindah ke Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long pada 2 Mac depan.

Turut serta melakukan tinjauan tersebut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, peniaga yang hendak dipindah perlulah disediakan tempat sesuai sebagai ganti serta kawasan itu tidak menyukarkan peniaga yang hendak dipindahkan.

Dengan mengambil contoh ketika pemerintahan Barisan Nasional satu ketika dahulu yang mana peniaga yang hendak dipindah ditempatkan di satu rumah panjang yang selesa untuk mereka.

Dalam pada itu Noh turut memuji kerajaan Selangor apabila memutuskan peniaga di situ meneruskan aktiviti perniagaan untuk tempoh dua tahun lagi sementara PBT di kawasan tersebut menyiapkan pasar kekal yang baharu.

“Ini baru betul, jangan terus nak tutup. Nasib baik peniaga-peniaga ni bangkit menyuarakan masalah mereka.

“Kerajaan kenalah betul, jangan bila rakyat bangkit baru nak bertindak. Jadi kerajaan kena bijak,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan mendakwa, apa yang berlaku di pasar pagi di situ adalah apabila ada pihak yang cuba menunjukkan kuasa hingga menyebabkan PBT menerima tekanan daripada ahli politik.

Katanya, desakan yang bertali arus daripada Ikhlas serta campurtangan Noh telah menyebabkan Exco Kerajaan Negeri turun padang hari ini sekaligus menyerahkan surat kebenaran supaya peniaga terus menjalamkan aktiviti mereka untuk tempoh dua tahun lagi di situ.

“Bila peniaga beri tekanan buat laporan polis barulah perkara ini nak selesai walaupun peniaga dapat surat ini mereka masih khuatir lagi kerana ini daripada PKR dan bila DAP bagi tekanan apa akan berlaku pada surat ini. Jadi, kita harap tak akan ada masalah timbul selepas ini,” ujarnya. MG

Noh serang Najib : Ini kata Noh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker