Zii Jia mahu jadi pemain No.1 dunia
PUTRAJAYA: Perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia berhasrat mengikut jejak langkah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi pemain No.1 dunia tidak lama lagi.
Pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun memerlukan masa antara satu hingga dua tahun untuk menjadikan permainannya lebih stabil dan konsisten.
“Salah satu kelemahan saya yang ketara ialah untuk stabilkan permainan sebab memang ada turun naik yang sangat ketara dan perkara ini sering dibincangkan bersama jurulatih.
“Saya rasa perlukan satu atau dua tahun untuk selesaikan masalah ini dan jadikan permainan lebih stabil. Memang saya harap boleh jadi pemain No.1 dunia selepas itu,” katanya selepas bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya hari ini.
Pemain kelahiran Alor Setar itu juga mengakui, banyak menerima kritikan sebelum ini khususnya selepas aksi hambar di tiga kejohanan di Thailand sebelum ini namun ia tidak menjejaskan perjalanan kariernya.
“Memang benar, selepas Thailand banyak pihak mengkritik saya, media ada, orang luar semua ada tetapi saya tidak peduli apa orang kata kerana jurulatih saya tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Saya percaya selepas ini kalau saya jatuh lagi, saya yakin akan naik semula,” katanya.
You must be logged in to post a comment.