MIC, MCA jangan gopoh cari ‘rakan’ baharu, pesan Puad


PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berpesan kepada MIC dan MCA jangan gopoh mencari “rakan pergantungan” baharu, hanya kerana mereka cuma ada satu atau dua kerusi kawasan pilihan raya.

Mengambil contoh pengalaman Umno bersama Perikatan Nasional, Puad mendakwa kerajaan pimpinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, itu melayan partinya umpana “adik tiri” sahaja.

“Kalau semangat adik-beradik wujud dalam PN sudah tentu Umno menyertai PN dan tidak akan keluar daripada kerajaan PN,” katanya di Facebook.

“MIC dan MCA kena beringat jangan kerana tinggal satu dan dua kerusi maka gopoh cari rakan pergantungan baru.”

Puad berkata manfaat daripada mengangkat PPBM sebagai parti memimpin adalah singkat, lalu menuduh parti itu “pembuli”.

“Si pembuli pula mengatakan ‘we are brothers’. Sebenarnya ada udang di sebalik batu,” tambahnya.

Sementara itu, Puad menolak tuduhan Umno mengamalkan konsep “abang besar” dalam Barisan Nasional.

“Buktinya Perikatan dan kemudiannya BN dapat bertahan lama,” katanya, dan menambah parti komponen BN berpeluang bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Baru-baru ini, Presiden MIC, SA Vigneswaran, mengumumkan partinya akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada masa ini, sehingga berlakunya “perkembangan baharu” dalam BN.

Vigneswaran juga dilapor berkata MIC berhak menentukan sendiri kerjasama politik demi kepentingan masyarakat India.

“Kalau Umno boleh bekerjasama dengan PAS yang merupakan komponen PN, kenapa kami tidak boleh bekerjasama dengan PPBM?” katanya, lapor Malaysiakini.

Umno sedang dikhianati dari luar dan dalam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker