Kenyataan Tok Pa perlekeh graduan


Presiden Belia Harmoni Malaysia (Harmoni Malaysia) Huzayl Mohammad Noor Sia mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed yang berkata, graduan perlu bersabar dan bersyukur sekiranya mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah.

Kata, Huzayl kenyataan itu seakan memperlekehkan golongan tersebut.

Meskipun akur dengan keadaan ekonomi yang merundum, Huzayl menegaskan, Mustafa seharusnya berusaha membaik pulih ekonomi supaya dapat meningkatkan gaji graduan.

“Kita akui dan faham keadaan ekonomi yang meruncing, tetapi sebagai seorang menteri, seharusnya dia datangkan usaha usaha baik pulih ekonomi negara dengan semaksima mungkin.

“Bukan meminta graduan reda dan terima sahaja keadaan yang menghimpit ini,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Senada dengan Huzayl, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli (gambar, bawah) turut menggesa agar kerajaan mula mengkaji gaji minima buat graduan.

“Kerajaan wajar kaji penetapan gaji minima berasaskan lokaliti kerana keperluan hidup berbeza antara bandar dan luar bandar. Dicadangkan gaji minima adalah sekitar RM1800-RM2300.

“Kerajaan wajar lebih rasional dan sensitif. Dalam keadaan gaji para menteri tinggi, sangat tidak wajar meremehkan para graduan. Maka ini adalah waktu terbaik untuk kaji ketetapan gaji graduan,” jelasnya.

Selain itu, lepasan graduan kejuruteraan Noor Atiqah Zulkifli, turut berasa kenyataan Mustafa tidak wajar.

“Graduan dah pulun habis waktu belajar, akhirnya gaji sama dengan yang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bukan nak rendahkan, tetapi memang sangat tak logik.

“Habis berpuluh ribu, dengan hutang lagi bagi siapa yang ambik PTPTN. Keluar dah penuh komitmen, belum lagi cakap soal graduan yang B40. Banyak benda hendak kena tanggung,” tambahnya.

Pandemik ancam pendapatan purata

Sebelum ini, Mustafa menjelaskan pasaran dan permintaan tenaga buruh agak lemah kerana ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus.

“Pasaran tenaga buruh, permintaan buruh dan permintaan tenaga kerja lemah kerena ekonomi kita menguncup 5.6 peratus. Itu pun, dengan ada langkah-langkah kerajaan, kalau tiada lagi teruk lagi.

“Jadi bagi saya para graduan dapat pekerjaan itu bersyukurlah kerana ramai lagi yang tiada kerja walaupun gaji tu mungkin rendah.

“Kena sabarlah dalam keadaan tahun lepas, yang harga (gaji) tu harga tahun lepas. Kita jangka tahun ini apabila ekonomi beransur pulih, mungkin gaji akan boleh naik,” kata anggota parlimen Jeli semalam.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut mengakui keadaan negara yang mengalami bebanan ekonomi susulan Covid-19.

“Dalam suasana ekonomi yang meleset sekarang seperti ekonomi global yang terancam kesan dari pandemik Covid-19, Malaysia tidak boleh lari (dari penurunan ekonomi).

“Dengan pandemik Covid-19, maka ancaman ini menjadi lebih kritikal yang memberikan kesan buruk kepada pendapatan purata pekerja di Malaysia, iaitu menurunkannya kepada lebih rendah,” katanya lagi. Mk

‘Saya sedia lawan ‘Tok Pa’ walaupun sahabat baik’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker