[VIDEO] “Suamiku Jiranku” – Mak Mertua Datang Sendiri ‘Melamar’…Wanita Ini Tak Sangka Berkahwin Dengan Jiran Depan Rumah

RENCANA tuhan tiada siapa yang mampu menduga.

Lebih 30 tahun berjiran, siapa sangka wanita ini akhirnya bertemu jodoh dengan rakan sepermainan ketika kecil.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok dengan tajuk ‘suamiku jiranku’ meraih perhatian netizen yang mana sehingga kini mencatatkan lebih 800,000 tontonan dalam tempoh 24 jam.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Dyha Ishak, 32, berkata dia sememangnya mengenali suami, Syazwan sejak kecil dan sering bermain bersama memandangkan rumah kedua ibu bapa mereka terletak bertentangan antara satu sama lain.

@dyha.ishak

Kahwin dengan jiran depan rumah 😜

♬ Mika Is Handsome – Mikatefu Sama

Menyingkap kisah mereka, wanita ini berkata dia dan suami tidak pernah bercinta sebaliknya hubungan mereka tidak lebih sekadar rakan biasa dan jiran tetangga.

“Kami memang rakan sepermainan… seingat saya, kami sering main ‘cikgu-cikgu’ dan tak pernah main ‘kahwin-kahwin’ pun. Apabila meningkat remaja, suami bersekolah di sekolah asrama penuh, jadi jarang dah berjumpa… selalu masa raya saja jumpa.

“Dipendekkan cerita, selepas saya tamat belajar dan sedang menunggu nak konvo, saya banyak luangkan masa dekat rumah. Masa itulah, mak mentua datang rumah dan bertanya sama ada saya ni single atau dah berpunya.

“Kalau belum berpunya, dia nak jadikan saya menantu. Memang terkejut jugalah masa tu,” ceritanya mengimbas kembali saat sebelum disatukan bersama suami.

Menurut guru di sebuah sekolah menengah ini, dia mengambil masa selama seminggu sebelum memberikan keputusan kepada bakal ibu mentuanya ketika itu.

“Dalam tempoh tu, saya sempat stalk Facebook suami sebab sajalah nak tahu macam mana bakal pasangan kita kan. Akhirnya saya menyatakan persetujuan. Sebenarnya saya dan kakak kepada suami sangat rapat.

Gambar Dyha bersama keluarga jirannya yang kini sudah menjadi keluarga mentua.

“Suami pun rapat dengan kakaknya, jadi dia pun bersetuju ikut cadangan ibu dan kakaknya. Selepas dua pihak bersetuju, kami pun mengikat tali pertunangan,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Apa yang menariknya, pasangan ini langsung tidak berhubung antara satu sama lain ketika tempoh pertunangan, sebaliknya ia lebih banyak menerusi keluarga.

“Beli barangan hantaran pun famili ikut. Kami bertunang lebih setahun sebelum diijabkabulkan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.

Sama seperti pasangan lain, Dyha berkata mereka juga turut diuji ketika sedang berdarah manis.

“Masa dalam tempoh bertunang, saya pernah rasa nak putuskan hubungan. Sebab saya rasa tak ada perasaan cinta, dan keliru dengan keputusan sendiri. Tapi mak nasihatkan untuk buat solat istikharah.

“Diam tak diam, kini usia perkahwinan kami dah masuk tahun ketujuh. Alhamdulillah kini dikurniakan sepasang cahaya mata berusia empat tahun dan setahun. Senang cerita, kami bercinta selepas nikah,” katanya yang juga menjalankan bisnes makanan bayi.

@dyha.ishak

Time raya best tak? 🤣

♬ Please Don’t Go – Mike Posner

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Dyha berkata dia sekadar memuat naik di TikTok secara suka-suka.

Dyha bergambar bersama keluarganya sewaktu majlis persandingan.

“Kebetulan minggu baru-baru ni ramai artis kahwin. Saya pun muat naik kisah dengan suami sekadar nak mengimbau balik kenangan. Tak sangka pula viral.

“Ramai yang tulis komen lucu… ada nak pikat sendirilah dan macam-macam lagi. Apa yang boleh saya katakan, dalam perkahwinan ni semestinya perlu bertolak ansur. Macam kami ni pun walau rumah keluarga dekat, tapi bila balik, mesti bergilir sebab nak jaga hati dua-dua keluarga.

“Kita berkahwin bukan dengan pasangan semata-mata, tapi dengan keluarganya juga,” katanya lagi.-mSTAR

Berikut di bawah adalah antara komen menarik daripada netizen di TikTok:

Alhamdullilah, kalau dah jodoh memang tak ke mana kan? 🙂

Lelaki Ini Minta bantuan Polis Cari Jodoh Untuknya..

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker