‘Tempat wanita bukan lagi di belakang kejayaan lelaki’

 

Kata-kata yang mengungkapkan bahawa ‘di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada seorang wanita di belakangnya’ sudah tidak relevan digunakan pada masa kini, kata Ketua Penerangan Wanita Umno Norshida Ibrahim.

Mengulang gesaan Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) agar kepemimpinan parti memberi peluang kepada kaum wanita untuk mengisi 30 peratus senarai calon pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti, kata Norshida, dalam kerja politik, sudah sampai masanya wanita diberikan peluang setara.

“Saya tak kata lelaki tak pandai buat kerja, saya tahu, orang lelaki ni hebat. Tapi cuba kita berganding bahu.

“Saya tak nak duduk dekat belakang. Kita tak nak (sekadar) back up (sokong) lelaki. Kita nak bergandingan. Jalan seiring mentadbir negara.

“Dalam peranan bekerja, saya rasa dah tiba masa diberikan peluang kepada wanita. Bukan duduk di belakang. Bukan orang kata, kejayaan orang lelaki di belakangnya ada (wanita).

“Tak ada, tak ada. Sekarang ini kejayaan lelaki berdamping dengan wanita, berdepan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ampang semalam.

Memberikan contoh terbaru dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, kata Norshida, daripada 31 kerusi DUN yang ditandingi Umno, hanya dua diperuntukkan buat calon Wanita.

Dua calon berkenaan ialah Hazulizah Md Dani di Sekong, dan Chaya Sulaiman di Kukusan, kedua-duanya tewas dalam PRN berkenaan.

Selain menggesa diberikan kerusi untuk ditandingi, kata Norshida, kerusi yang diberikan kepada calon wanita dalam pilihan raya juga haruslah daripada kawasan-kawasan yang “boleh menang”.

Katanya, sebenarnya ramai wanita di dalam Umno yang layak dan berkaliber untuk menjadi calon pilihan raya, tetapi tidak diberikan peluang.

“Macam mana pelapis hendak menonjol, sedangkan pemimpin tidak bagi peluang?

“Berapa ramai pemimpin-pemimpin (kaum wanita) yang berkelayakan, yang boleh bersuara, tetapi dia tak dibagi peluang. Macam mana kita nak katakan yang kita (wanita) tak ada aura untuk menjadi wakil rakyat?

“Cuba bagi peluang,” katanya lagi.

Selain itu, Norshida berpandangan peranan wanita di dalam kementerian juga tidak harus terhad kepada kementerian-kementerian tertentu seperti kementerian pembangunan wanita semata-mata, tetapi wajar diberikan tanggungjawab untuk mengetuai lebih banyak portfolio.

Daripada 38 ahli parlimen Umno, empat orang daripadanya merupakan wanita, termasuk Noraini (Parit Sulong).

Dalam ucapannya dalam PAU 2020 pada Sabtu, Noraini menggesa kepemimpinan Umno untuk melaksanakan agenda 30 peratus calon wanita, dengan mengkedepankan lebih ramai calon wakil rakyat dalam kalangan wanita.

Malah, Noraini membangkitkan adegan lompat parti di dalam Umno, yang katanya, majoriti dilakukan oleh kaum lelaki berbanding wanita yang lebih setia.

Ketika ini Malaysia mempunyai 33 ahli parlimen wanita, iaitu 14.86 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker