PNB umum pengagihan pendapatan RM1.55 bilion untuk lima dana

Sebaran :


KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 untuk lima dana.

Dalam kenyataan hari ini, PNB berkata lima dana itu termasuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) serta tiga dana harga berubah-ubah iaitu ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.

Bagi ASB 2, PNB mengisytiharkan dividen sebanyak 4.25 peratus, menjadikan pembayaran pengagihan pendapatannya berjumlah RM488.2 juta yang memanfaatkan 459,416 pemegang unit dengan pegangan 11.5 bilion unit.

Bagi ASM, syarikat itu mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM851.2 juta atau 4.0 peratus yang memanfaatkan 559,222 pemegang unit dengan pegangan 21.3 bilion unit.

“Sehingga 25 Mac 2021, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM499 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM727.6 juta. Prestasi ASB 2 dan ASM ditanda aras berbanding 1.95 peratus pulangan yang dicatat deposit tetap 12 bulan Maybank.

Sementara itu, PNB berkata ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 masing-masing mencatatkan pulangan dua digit sebanyak 18.7 peratus, 17.0 peratus dan 10.8 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 yang didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti daripada prestasi terendah pada 2020.
“Kedua-dua kadar pulangan tersebut ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan deposit tetap 12-bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.

“Dalam tempoh yang sama, FBM KLCI mengukuh daripada 1,351 mata kepada 1,598 mata sebanyak 18.27 peratus berikutan peningkatan sentimen dengan pelancaran program vaksinasi di peringkat global dan jangkaan pemulihan ekonomi global,” katanya.

Dengan pulangan ini, ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta bagi ASN Equity 3 iaitu 3.53 sen seunit kepada 86,306 pemegang unit dengan pegangan 2.2 bilion unit.

Manakala, ASN Imbang 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM45.4 juta, iaitu 3.11 sen seunit kepada 85,147 pemegang unit dengan pegangan 1.5 bilion unit dan ASN Sara 1 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM91.8 juta, iaitu 3.52 sen seunit kepada 85,776 pemegang unit dengan pegangan 2.6 bilion unit.

“Pulangan ini mewakili hasil dividen antara 3.15 peratus-3.95 peratus untuk setiap dana berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) masing-masing pada 25 Mac 2021.

“Pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasi, dividen dan pendapatan-pendapatan lain.

“Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa untuk setiap dana meningkat dengan ketara antara 40 peratus hingga 52 peratus daripada jumlah pendapatan sehingga kini dalam tahun kewangan semasa, mencerminkan impak positif hasil inisiatif kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana-dana tersebut,” katanya. Bernama


Sebaran :

Leave a Reply