Putrajaya sedia benarkan hospital swasta beli vaksin sendiri


Kerajaan bersedia membenarkan hospital swasta mengadakan rundingan terus perolehan vaksin dengan syarikat pengeluar dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan hospital swasta berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata, hospital swasta perlu menyedari realiti bekalan vaksin Covid-19 di seluruh dunia kini amat terhad dan tidak mencukupi.

“Cuma saya nak beri gambaran terhadap harapan hospital swasta dalam menguruskan perolehan vaksin kelak. Mereka andaikan bila kerajaan beri kebenaran untuk membeli vaksin daripada syarikat pengeluar, bekalan akan diterima secepat mungkin.



“Justeru, orang berada yang sanggup bayar bagi mendapatkan vaksin secepat mungkin membayangkan mereka bakal menerima suntikan pelalian dalam masa terdekat.

“Mungkin mereka beranggapan suntikan pelalian bagi yang mampu membayar bakal diterima seawal bulan ini atau bulan depan,” katanya selepas mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Khairy berkata, kerajaan akan menumpukan pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja industri berkapasiti besar, terutama yang beroperasi di zon merah, apabila negara sudah memperolehi bekalan vaksin mencukupi kelak.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menumpukan syarikat industri dengan lebih 5,000 pekerja asing di seluruh negara.



Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kerajaan hanya boleh memutuskan kaedah pemberian vaksin kepada bakal jemaah haji Malaysia, selepas Arab Saudi mengumumkan keputusan rasmi berhubung pelaksanaan semula Rukun Islam ke-5 itu.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengemukakan permohonan dan senarai jemaah yang bakal mengerjakan haji mengikut jadual tertentu.

“Malaysia masih menanti keputusan muktamad Arab Saudi untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan bakal jemaah haji.

“Bila ia wajib, maka kita akan kerjasama dengan TH dan teliti senarai bakal jemaah yang diluluskan untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini. Bakal jemaah haji ini akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin.” FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker