PU Riz harap Neelofa lahirkan mujtahid akhir zaman
PETALING JAYA – “Semoga kami mendapat zuriat-zuriat yang mujtahid pada akhir zaman.”
Demikian respon yang diberi pendakwah bebas, Haris Ismail tentang harapannya untuk kehidupan rumah tangganya bersama selebriti popular, Neelofa.
Hasrat untuk memiliki anak-anak yang bakal menjadi ahli ulama tersebut disuarakan pemilik nama lengkap Muhammad Haris Muhd Ismail, 26, dalam satu rakaman video ketika majlis pertunangannnya yang dimuat naik oleh adik Neelofa iaitu Atisha Khan dalam saluran YouTube semalam.
“Harapan saya ialah ingin membawa bahtera perkahwinan ini ke syurga, Insya-Allah.
“Ingin juga lahirkan zuriat-zuriat bakal ahli ulama pada akhir zaman, mengingatkan lagi sunnah Nabi dalam keluarga ini,” tutur Haris yang juga dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz.
Hasil carian, mujtahid bermaksud mereka yang mempunyai malakah ijtihad atau kemampuan untuk mengkaji, menyelidiki dan mendapatkan hukum-hukum syara’ yang amali daripada dalil-dalil yang terperinci.
Malah, mujtahid juga seorang fakih dalam kalangan ulama Usul.
Sementara, Neelofa pula meluahkan hasrat untuk menjadi seorang isteri yang taat pada suami.
“Semoga Allah SWT membimbing dan memberkati saya menjadi seorang isteri solehah dan taat kepada suami.
“Harap dengan ikatan ini memberi saya peluang ke syurga nanti,” katanya.
Dalam video tersebut, Atisha turut berkongsi momen manis ketika ibu Haris, Datin Seri Normah Johar menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Neelofa.
Sehingga hari ini, video tersebut sudah ditonton lebih 280,000 dan menerima 19,000 tanda suka.
Untuk rekod, itu merupakan video pertama yang memaparkan suasana majlis pertunangan Neelofa dan Haris yang berlangsung pada 1 November tahu lalu di kediaman keluarga bekas pemenang Dewi Remaja 2009/2010 berkenaan.
Kosmo! pada 26 Mac lalu melaporkan Neelofa selamat bergelar isteri kepada bekas peserta program Pencetus Ummah itu dalam satu majlis tertutup di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. – K! ONLINE