COVID-19: Kebanyakan pesakit masih alami gejala selepas 6 bulan – Kajian

PARIS: Lebih tiga per empat daripada pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital, didapati masih mengalami sekurang-kurang satu gejalanya selepas enam bulan.

Demikian menurut satu kajian diterbitkan, hari ini, dengan saintis menegaskan bahawa penyelidikan lanjut perlu dilakukan terhadap kesan berpanjangan penyakit itu.

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet dan membabitkan sejumlah pesakit di Wuhan, bertujuan mengesan gejala jangka panjang jangkitan wabak itu.

Hasil kajian terbabit mendapati kelesuan atau otot lemah adalah gejala paling biasa dialami, manakala ada pesakit turut melaporkan kesukaran tidur.

“Disebabkan COVID-19 adalah penyakit baharu, kami baru mula memahami sesetengah kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan pesakit,” kata penulis utama hasil kajian terbabit, Bin Cao daripada Pusat Perubatan Pernafasan Kebangsaan.

Profesor itu berkata, hasil kajian terbabit mendapati pesakit COVID-19 perlu diberikan rawatan berterusan selepas mereka keluar dari hospital, terutama individu yang mengalami jangkitan teruk.

“Kajian kami juga menekankan pentingnya untuk menjalankan penyelidikan susulan yang lebih lama membabitkan populasi lebih besar, bagi memahami spektrum penuh kesan COVID-19 terhadap manusia,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, virus itu memberi risiko kesan berterusan yang serius terhadap sesetengah individu, termasuk dalam kalangan orang muda.

Kajian baharu itu meliputi 1,733 pesakit COVID-19 yang keluar dari Hospital Jinyintan di Wuhan antara Januari hingga Mei tahun lalu.

Pesakit terbabit dengan purata umur 57 tahun, dilawati antara Jun hingga September lalu serta ditanya soalan mengenai gejala dialami dan kualiti kehidupan berkait kesihatan mereka.

Penyelidik turut menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal.

Hasil kajian itu mendapati 76 peratus pesakit yang terbabit dalam usaha susulan berkenaan (1,265 daripada 1,655), menyatakan bahawa mereka masih mengalami gejala.

Sebanyak 63 peratus pesakit berkenaan memaklumkan bahawa mereka mengalami kelesuan atau otot lemah, manakala 26 peratus melaporkan masalah tidur.

Kajian terbabit juga membuat penelitian terhadap 94 pesakit yang tahap antibodi darah mereka direkodkan ketika puncak jangkitan, sebagai sebahagian daripada ujian lain.

Apabila pesakit berkenaan menjalani ujian semula selepas enam bulan, tahap antibodi peneutralan mereka didapati merosot 52.5 peratus.

Penulis terbabit berkata, ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku jangkitan semula COVID-19.

Mereka juga memaklumkan, lebih banyak sampel diperlukan untuk memperoleh penjelasan bagaimana imuniti terhadap virus itu berubah dari semasa ke semasa. – AFP

China lapor 1,300 kes COVID-19 tanpa gejala

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker