Ismail Sabri tak boleh jadi macam air dalam kolam


Hanya beberapa hari saja lagi sebelum perwakilan dan pemimpin Umno berkumpul – dengan sesetengahnya secara maya – untuk melaksanakan tuntutan tahunan mereka.
Jika sebelum ini saban tahun Kuala Lumpur akan diwarnakan dengan merah dari Pusat Dagangan Dunia Putra, kali ini bagaimanapun ia tidak akan semeriah selalu.

Pun begitu ia tidak akan memadam atau mengendurkan debaran yang dirasa, terutama ketika Umno sudah berada di ambang memutuskan hubungan secara rasmi dengan parti serpihan mereka, Bersatu.

Sudah ramai pemimpin yang bersuara teruja menanti saat itu. Pada masa sama ada juga sebahagian yang tekal bersuara – dan mendesak – agar keputusan tersebut dikaji semula.

Di tengah suasana itu, barangkali ada yang terlupa akan satu watak penting dalam kepimpinan Umno – Ismail Sabri Yaakob.



Dia merupakan pemimpin tertinggi Umno yang diberi tempat oleh Muhyiddin – yang juga bekas timbalan presidennya – dalam kabinet Perikatan Nasional.

Namun berbanding dengan pemimpin lain dalam Umno, Ismail Sabri secara relatif sangat senyap mengulas perkembangan semasa politik. Justeru tidak aneh jika ada yang menganggap diamnya Ismail Sabri bukan diam biasa. Diamnya diam berubi.

Tetapi ia mungkin tidak memuaskan hati sesetengah pihak.



Ramai mahu tahu pendirian

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berpendapat, naib presiden Umno itu sepatutnya memainkan peranan dengan lebih tegas menyatakan pendirian parti, khususnya berhubung isu kerjasama mereka dengan Bersatu.

Kata Mohamad Khir, Ismail Sabri tidak boleh menjadi seperti ‘air di dalam kolam’ saja apabila ada isu membabitkan parti ditimbulkan.

“Ismail Sabri kena tegas, dia tidak boleh seperti itu (berdiam diri) sebab dia naib presiden parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.



Senada dengan Mohamad Khir ialah pemerhati politik dari Universiti Teknologi Malaysia Prof Azmi Hassan.

Kata Azmi pendirian yang diserlahkan Ismail Sabri dapat membantu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi – yang kini berdepan dengan gerakan sulit untuk menyingkirkannya – mempertahankan keputusan kepimpinan parti.

“Sebab itu saya kata, Ismail Sabri kena ‘step up’ dan nyatakan pendirian. Saya yakin pendirian itu dimahukan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Zahid juga.

“Namun dari pandangan saya selepas membaca kenyataan dia nampak Ismail Sabri seperti memihak kepada Ahmad Zahid iaitu mengikut keputusan majoriti Umno bahagian untuk mengetepikan Bersatu.



“Tetapi macam mana pun dia tetap kena nyatakan pendirianlah, cuma macam mana pun kita akan dapat tahu waktu PAU nanti,” tambahnya.

Untuk rekod, pertembuangan idea mengenai kerjasama Umno-Bersatu semakin ketara dilihat akhir-akhir ini dengan sebahagiannya mahu ia ditamatkan, manakala setengah yang lain sebaliknya.

Secara umum, pihak yang mahu mengekalkan kerjasam dengan Bersatu itu terdiri daripada kalangan pemimpin Umno yang dilantik sebagai menteri atau diberikan jawatan tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Boleh dianggap langgar keputusan MT



Ahmad Zahid sendiri – di sebalik kedudukannya sebagai presiden Umno – tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan. Pada masa sama imej ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibayangi dakwaan salah laku dan rasuah.

Pada masa sama kem Zahid – yang digelar “kluster mahkamah” – terus berdepan dengan “kluster kabinet” dengan antara watak terkedapan membabitkan bekas setiausaha agung BN dan Umno, Annuar Musa.

Kedudukan Ismail Sabri sebagai menteri kanan Muhyiddin meletakkan ahli parlimen Bera itu ‘sekapal’ dengan “kluster kabinet apabila dia dilihat lebih banyak memfokuskan hal-hal kerajaan dan tidak lantang bersuara berhubung isu parti.

Pada 20 Mac lalu Ismail Sabri ada memberi penegasan bahawa Umno tidak akan bekerjasama sama ada dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, atau DAP dalam PRU ke-15 nanti.



Jelas Ismail Sabri, sekiranya didapati ada mana-mana pihak dalam Umno mengadakan perbincangan dengan PKR, tindakan boleh diambil kerana melanggar keputusan majlis tertinggi (MT).

Ia berlaku ketika Ahmad Zahid didakwa Annuar memberikan ikrar untuk mengangkat Anwar menggantikan Muhyiddin – yang kini berdepan dengan krisis sokongan majoriti di parlimen – sebagai perdana menteri.

Anwar pula mendedahkan memang terdapat perbincangan awal di antara partinya dan Umno dan tidak menafikan kemungkinan kerjasama kedua-dua parti itu.

Kena akur kemahuan majoriti

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir pula membandingkan perilaku Ismail Sabri dengan Annuar.

“Pemimpin kanan Umno perlu nyatakan pendirian, tetapi kita lihat Ismail Sabri bukan macam Annuar Musa.

“Maka tindakan dia mengelirukan. Kalau pun kita tahu Ismail Sabri menyokong keputusan pimpinan Umno pusat, dia wajar bersuara.

“Macam mana pun, akhirnya nanti saya rasa semua pemimpin parti kena berbincang dan ambil kira faktor menyeluruh demi kepentingan Umno,” katanya lagi.

Seorang lagi bekas menteri besar Selangor yang pernah dilantik sebagai naib presiden Umno Muhammad Muhd Taib berpendapat setiap ahli perlu menghormati cara pemimpin kanan mengulas berhubung isu parti.

“Kita hormat pendirian pemimpin. Ada cara Annuar, ada cara Ismail Sabri, tetapi untuk PAU ini kita lebih baik bagi perwakilan bersuara.

“Sama dengan pendirian pemimpin lain, beri perwakilan bercakap. Kita dengar suara akar umbi,” katanya lagi.

Mengenai sikap Annuar, Mohamad Khir berpendapat menteri Wilayah Persekutuan itu boleh bercakap namun ia hanya terhad kepada pendirian bahagiannya – iaitu Ketereh – saja.

“Annuar bukan ahli MT Umno, maka dia hanya boleh cakap apa yang bahagiannya mahu tapi pada akhirnya dia kena akur dengan keputusan majoriti,” katanya. Mk

Annuar Musa dakwa banyak Umno negeri, bahagian terima Bersatu, mohon beliau senaraikan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker