Kerajaan langgar undag-undang jika tipu had hutang negara – Najib Razak

PETALING JAYA: Adalah menjadi kesalahan sekiranya kerajaan menafikan had hutang negara sudah tercecah biarpun laporan Kementerian Kewangan menyatakan nisbah hutang berada pada paras 62.2% pada akhir 2020, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata rakyat mungkin tidak tahu tetapi ahli ekonomi dan pelabur asing sudah tentu tidak akan senang jika ada usaha untuk menipu data fiskal.

“Nisbah hutang 60% sudah cecah. Defisit bajet 5.4% bagi Belanjawan 2021 yang diluluskan dalam Parlimen pada akhir tahun lalu juga telah cecah.

“Sekiranya kerajaan bertukar tangan pada masa hadapan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap menteri kerajaan PN jika keadaan ini tidak diperbetulkan dan dilulus Parlimen,” katanya di Facebook.

Najib menjawab kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang menyatakan Putrajaya sentiasa konsisten sama ada di Parlimen atau kepada pihak media ketika menerangkan mengenai hutang negara.

Tengku Zafrul seperti dilaporkan media berkata, sebelum Covid-19 melanda, hutang kendiri negara sebanyak 55% diguna pakai bagi hutang domestik dan luar negara tetapi apabila Covid-19 melanda, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.

Najib tegur kerajaan langgar had hutang negara

Bahkan, Tengku Zafrul beri jaminan had setiap jenis hutang bawah lunas undang-undang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin dalam pengurusan fiskal negara.

Najib berkata kerajaan perlu jujur dan segera memperbetulkan keadaan secepat mungkin, menyarankan pemerintah bawa usul baharu di Parlimen untuk menaikkan lagi had hutang, sebagaimana pernah dibuat pada Ogos tahun lalu.

Katanya, tidak kira kerajaan sudah tukar dasar kepada dasar hutang yang lebih fleksibal atau tidak, “hutang adalah hutang” dan kerajaan masa depan bersama rakyat kelak perlu berdepan dengannya.

Bekas perdana menteri ini berkata tidak salah sekiranya kerajaan membuat pinjaman dalam usaha untuk menghadapi wabak.

“Tetapi ia salah jika kerajaan langgar undang-undang sendiri dan had hutang yang diusulkan kerajaan yang kemudiannya diluluskan di Parlimen. Jika had ini tidak penting, buat apa kerajaan PN usulkan untuk dinaikkan pada tahun lepas,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker