Angkara pemandu Mercedes mabuk, polis, petugas ambulans cedera dilanggar

Sebaran :

 

PETALING JAYA: Petugas ambulans dan anggota polis yang sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan cedera dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Ampang, semalam.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, kedua-dua petugas terbabit sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohammed Farouk Eshak berkata, ketika anggota polis berkenaan sedang mengawal lalulintas, sebuah Mercedes Benz bergesel dengan sebuah Proton Saga menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan melanggar kereta peronda polis.

“Ketika kejadian, kereta peronda polis berada di lorong kanan kerana sedang memberikan bantuan kecemasan kepada penunggang motosikal yang kemalangan,” katanya menurut laporan Harian Metro.



Farouk berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di lorong paling kanan dari arah Ampang menghala ke Gombak.

Ambulans Uncle Kentang kini 8 buah, pasang hasrat lancar ke seluruh negara

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kereta peronda polis menggelongsor ke hadapan dan melanggar ambulans dan sebuah motosikal anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

“Akibatnya seorang anggota BSPT, seorang petugas ambulans serta seorang penunggang motosikal cedera dan dikejarkan ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan.

“Ujian alkohol ke atas pemandu Mercedes mendapati ia melebihi paras dibenarkan, namun ujian saringan air kencing mendapati negatif penggunaan dadah,” katanya.



Katanya, pemandu berusia 48 tahun itu kemudian ditahan dan direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Farouk berkata, polis turut memohon saksi bebas yang melihat kejadian untuk membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, Nurul Faizah Ismail di talian 019 2863481.


Sebaran :

Leave a Reply