Muhyiddin mahu kepimpinan tentera di Myanmar digesa pilih demokrasi bebaskan Suu Kyi

Sebaran :

 

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tentera di Myanmar digesa supaya mengubah haluan semasa dan memilih jalan ke arah penyelesaian yang aman, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam satu kenyataan malam ini berkata, Malaysia menyuarakan rasa kebimbangan serius terhadap keadaan tragik di Myanmar sejak berlaku rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.

Beliau berkata, rata-rata anggota komuniti ASEAN tidak sanggup melihat negara saudaranya Myanmar menjadi tidak stabil, berada dalam gengaman beberapa orang terpilih, yang berhasrat untuk mengetengahkan kepentingan sendiri.

“Sekali lagi, Malaysia mengulangi gesaan kami yang konsisten terhadap semua pihak yang berkaitan, untuk bekerjasama ke arah penyelesaian aman dalam krisis ini.

“Kami akan terus menyokong dialog inklusif bagi peralihan politik dan menggesa semua pihak untuk kembali ke meja rundingan, mencari remedi terhadap krisis ini dan mengelak sebarang ketegangan yang memuncak,” katanya.

Suu Kyi didakwa terima wang haram RM2.5 juta, 11kg emas

Muhyiddin berkata bagi tujuan itu, beliau juga meminta supaya pemimpin politik yang ditahan, dibebaskan dengan segera tanpa syarat, termasuk Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi dan Presiden U Win Myint, yang ditahan dengan sewenang-wenang sejak 1 Februari lepas.

Muhyiddin turut menyokong penuh kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini yang menyeru supaya diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN, bagi menangani keadaan di Myanmar.

Sementara itu Muhyiddin berkata, apa yang jelas adalah pergelutan politik semasa di negara itu hanya menjadikan rakyat biasa sebagai mangsa.

“Keadaan ini tidak ada tempat dalam nilai-nilai kepercayaan, hati nurani dan budaya kita.

Ia bertentangan dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN, yang kita di ASEAN komited untuk mempromosi dan lindungi, agar keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk rantau kita terjamin,” katanya.

Muhyiddin turut menyuarakan rasa terkejut dengan penggunaan kekerasan serius yang berterusan terhadap orang awam tidak bersenjata, yang mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan serta penderitaan di seluruh negara.

Bagi pihak rakyat Malaysia, Muhyiddin turut menyampaikan ucapan takziah yang mendalam dan tulus kepada semua rakyat Myanmar yang kehilangan orang yang mereka sayangi dan yang menjadi mangsa akibat krisis politik semasa.

 

Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?


Sebaran :

Leave a Reply