Vaksin COVID-19: AstraZeneca selamat, berkesan – Agensi Perubatan Eropah

VAKSIN Oxford-AstraZeneca didapati selamat dan berkesan.

Demikian penelitian dan kesimpulan Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang membuat siasatan selepas 13 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menggantung pemberiannya kerana bimbang risiko pembekuan darah.

Pengarah Eksekutif EMA, Emer Cooke berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada risiko pembekuan darah berlaku lebih tinggi jika disuntik AstraZeneca.

“Kesimpulan daripada penelitian kami adalah vaksin ini selamat dan berkesan. Ia memberi lebih manfaat dalam melindungi orang ramai daripada kematian atau dimasukkan ke dalam hospital akibat COVID-19.

“Kami juga mendapati pemberian vaksin ini tidak ada kaitan dengan risiko pembekuan darah lebih tinggi secara keseluruhan,” kata Cooke di Amsterdam pada Khamis.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada negara anggota EU untuk membuat keputusan sama ada meneruskan atau menggantung pemberian AstraZeneca.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta negara-negara di dunia terus menggunakan AstraZeneca.

WHO sendiri akan mengeluarkan hasil siasatannya berhubung AstraZeneca pada Jumaat.

13 negara anggota EU, antaranya Jerman dan Sweden, menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca susulan beberapa laporan mengenai kes pembekuan darah kesan sampingan pengambilannya.

Tindakan anggota EU itu mendapat kritikan dan kecaman pakar dan ahli politik.

Vaksin tersebut dibangunkan dengan kerjasama Oxford University dan pengeluar ubat-ubatan berpangkalan di United Kingdom, AstraZeneca.

Ini senarai negara yang gantung penggunaan vaksin AstraZeneca

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker