Elon Musk, manusia terkaya di dunia


“Saya berharap dapat mati di planet Marikh. Bukan disebabkan impak (kesan buruk tinggal di Marikh).”

Itulah ungkapan diberikan oleh individu yang terkenal dengan jolokan Iron Man ketika ramai pihak menganggap ia perkara tidak masuk akal dan mustahil untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, Elon Musk sentiasa percaya bahawa planet Marikh mampu menjadi penyelamat kepada kehidupan manusia sekiranya berlaku kemusnahan teruk terhadap bumi.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Ketua Pegawai Eksekutif, SpaceX itu giat melakukan ujian terhadap roket Falcon Heavy yang dikatakan mampu membawa manusia ke Marikh.

Malangnya, beberapa siri ujian roket yang dilakukan oleh jutawan berusia 49 tahun itu telah menemui kegagalan, namun beliau tidak mudah patah semangat.

“Saya boleh menerima setiap kegagalan, mungkin saya akan kehilangan segala-galanya dalam hidup. Namun, ia tetap satu kemajuan yang besar.

“Mungkin juga saya akan mati, namun syarikat lain boleh menggunakan uji kaji ini sebagai tongkat bagi mereka bergerak ke depan supaya manusia boleh hidup lebih baik,” katanya dalam satu temu bual dengan sebuah televisyen.

Sikap gila-gila yang ada pada Musk membolehkannya menjadi peneraju kepada teknologi dunia ketika ini menerusi rangkaian syarikat miliknya.

Antara syarikat dimiliki oleh lelaki berusia 49 tahun itu adalah SpaceX, Tesla Motors, The Boring Company, Neuralink, OpenAI, SolarCity, Hyperloop, Starlink dan PayPal.

Salah satu syarikatnya paling berjaya adalah Tesla yang menjadi peneraju kepada teknologi kereta janaan tenaga elektrik sepenuhnya.

Kenderaan mesra alam itu kian mendapat tempat dalam kalangan orang kaya di Amerika Syarikat (AS) berbanding jenama kenderaan terkemuka lain seperti BMW dan Mercedes.

Hasilnya saham Telsa Motors meningkat mendadak sehingga membolehkan Elon diangkat sebagai manusia paling kaya di dunia pada awal tahun ini dengan nilai kekayaan mencecah AS$185 bilion (RM761 bilion).

“Ia sesuatu yang aneh. Baiklah, kembali bekerja…,” ciapnya dalam laman Twitter bagi mengulas berita menjadi manusia terkaya di dunia.

Hakikatnya, kekayaan dan kehebatan teknologi yang dikecapi oleh Elon tidak datang bergolek, sebaliknya dia terpaksa melalui pelbagai rintangan.

Dia dilahirkan di Pretoria, ibu kota dan pusat pentadbiran Afrika Selatan. Ibunya, Maye Musk merupakan seorang model dan pakar pemakanan, manakala bapanya, Errol Musk merupakan jurutera elektromekanikal.

Beliau merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik iaitu abang kepada Kimbal Musk dan Tocca Musk. Ketika kanak-kanak, ibu bapanya telah bercerai dan dia memilih untuk tinggal bersama bapanya, Errol.

Menariknya, dia telah memulakan sesi persekolahan setahun lebih awal berbanding kanak-kanak lain. Di sekolah, dia banyak menghabiskan masa membaca buku serta mengorbankan kehidupan sosialnya.

Bapanya, Errol memaklumkan, Elon seorang pemikir kesepian yang hebat. Ujarnya, ketika orang di sekelilingnya sedang bergembira, sebaliknya dia menghabiskan masa membaca buku.

“Sewaktu berparti di rumah rakan, semua orang bercakap mengenai perkara seperti sukan ragbi dan lumba kereta. Sebaliknya, dia mencari buku di rak untuk dibaca,” ujarnya.

ELON sentiasa mempunyai iniovasi terkini terutama dalam bidang kejuruteraan kenderaan untuk menjadikannya lebih efisien dan mesra pengguna dari masa ke masa.

Semasa di sekolah, Elon telah melalui mimpi buruk apabila sering dibuli oleh rakan sekelasnya sehingga memberi tekanan kepada mental dan fizikal.

“Saya telah dibesarkan dalam persekitaran yang buruk. Saya juga melalui banyak kesukaran ketika membesar.

“Mereka (geng nakal) sanggup berkawan dengan rakan baik saya untuk mengetahui tempat persembuyian saya. Mereka memukul saya dan ia amat menyakitkan,” ujarnya.

Menurut Tocca, Elon pernah dibuli teruk sehingga memaksa dia dipindahkan ke sekolah yang terletak 40 kilometer dari rumah.

Ceritanya, Elon pernah dibaling batu serta dimasukkan benda kecil ke dalam telinga oleh pelajar nakal sehingga menyebabkannya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Pelajar lain tidak menyukai abang saya kerana dia seorang yang kreatif dan lantang. Ramai pelajar ketika itu ingin menjatuhkannya,” tegas Tocca.

Seorang wartawan, Tom Junod memaklumkan, Elon berjaya keluar daripada tekanan menjadi mangsa buli menerusi dua kaedah iaitu keluarga dan minat.

“Pertama menerusi keluarganya yang banyak melakukan perkara-perkara hebat sehingga berjaya membuatkan dia melupakan seketika detik hitam dalam hidupnya.

“Kedua, dia banyak menghabiskan masa di depan komputer dengan membangunkan perisian. Dia juga memulakan perniagaan sendiri dengan membuka kedai permainan video,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, Elon telah berhijrah ke Kanada bersama ibu dan dua orang adiknya.

Di sana, dia berjaya menghabiskan pengajian selama dua tahun di Queen’s University pada tahun 1992. Kemudian, dia melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam Jurusan Fizik dan Ekonomi di University Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Semasa di kampus, Elon dan rakan sekelasnya menyewa rumah dengan 10 buah bilik sebelum mengubahsuainya menjadi kelab malam. Langkah itu dilakukannya sebagai eksperimen keusahawanan.

Rakan sekuliahnya, Chirstie Nicholson memberitahu, Elon sentiasa berfikir untuk tidak makan, sebaliknya memanfaatkan masa tersebut dengan pekerjaan.

“Sekiranya, ada cara yang tidak memerlukan saya makan, saya dapat bekerja dengan lebih keras. Saya sangat berharap ada acara cara lain untuk mendapatkan nutrien tanpa duduk di meja makan,” ujar Elon.

Dia kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran di Universiti Stanford sebelum memilih untuk berhenti dua hari kemudian.

Hal ini kerana, bapa kepada lima cahaya mata itu percaya internet mempunyai potensi besar bagi mengubah cara hidup manusia berbanding belajar atau bekerja dalam bidang fizik.

Pada tahun 1995, Elon mulakan langkah dalam perniagaan berasaskan teknologi dengan mengasaskan sebuah syarikat penyediaan peta dan direktori perniagaan akhbar dalam talian yang dikenali sebagai Zip2.

Pada tahun 1999, Zip2 telah dibeli oleh pengeluar komputer Compaq dengan harga AS$307 juta (RM1.3 bilion) dan Elon menggunakan wang berkenaan untuk menubuhkan Paypal yang menawarkan perkhidmatan kewangan dalam talian.

Dia berjaya melelong syarikat Paypal dalam platform jualan online eBay pada harga AS$ 1.5 bilion (RM6.2 bilion) pada tahun 2002.

Pada tahun sama, Elon mengasaskan SpaceX dalam usaha menghasilkan roket ke angkasa lepas pada harga lebih murah.

“Dua roket pertamanya adalah Falcon 1 (dilancarkan pada 2006) dan Falcon 9 (dilancarkan pada 2010). Roket ketiga, Falcon Heavy dilancarkan pada 2018.

“Roket berkenaan membawa 53,000 kilogram ke angkasa lepas iaitu dua kali ganda lebih berat daripada syarikat pesaingnya, Boeing Company,” tulis portal pengetahuan, Britannica.

Menjelang 2004, Musk bersama usahawan, Martin Eberhard dan Marc Tarpenning telah mengasaskan Tesla Motors yang bertanggungjawab mengeluarkan kereta elektrik.

Selang dua tahun, Tesla Motor berjaya mengeluarkan kenderaan elektrik pertama, Roadster yang mampu mencapai jarak mencecah 394 kilometer (km) dengan sekali pengecasan.

“Kebanyakan kenderaan elektrik sebelum ini canggih, namun tidak menarik.

“Roadster adalah kereta sport yang boleh bergerak sehingga 60km dalam tempoh sejam,” ujar Elon.

Meskipun sektor kereta elektrik telah berkembang pesat dengan kemunculan syarikat China seperti Nio dan Xpeng, namun Tesla terus menguasai pasaran dengan peningkatan jualan kenderaan keluaran syarikat tersebut. K Online

[VIDEO] Menakjubkan!! Pemuda Ini Digelar ‘Elon Musk Of Ghana’ Selepas Hasilkan Kereta Daripada Bahan Terbuang

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker