Najib juga mahu vaksin Sinovac seperti Khairy


Pertembungan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin di media sosial berterusan.

Ia selepas bekas perdana menteri itu turut menyuarakan hasrat untuk diberi suntikan vaksin Sinovac, sama seperti Khairy yang menerimanya hari ini.

“Memandangkan bekalan Sinovac yang lebih banyak telah diterima serta kebanyakan frontliners sudah diberi vaksin dos pertama dan untuk mematahkan tohmahan bahawa Najib adalah antivaksin dan juga tak percaya vaksin.

“Saya harap Kementerian Kesihatan (KKM) akan jadualkan saya untuk terima vaksin Sinovac seperti Khairy dalam masa terdekat,” katanya dalam ruangan komen di Facebooknya, hari ini.

Komen itu turut diiringi lampiran berita berkenaan suntikan vaksin keluaran China itu kepada Khairy, yang merupakan individu pertama di Malaysia yang menerimanya.

Bagaimanapun Najib tidak mengulas lanjut berkenaan dakwaan ditohmah sebagai antivaksin.

Terdahulu, Khairy yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaporkan berkata Najib telah membatalkan temu janji suntikan vaksin yang ditetapkan pada 6 Mac.

Najib bagaimanapun berkata dia ingin memberi laluan kepada petugas barisan depan dan mempersoalkan sama ada dia tidak boleh berbuat demikian seperti orang lain.

“Mungkin saya perlu buat sidang media terlebih dahulu,” katanya sinis.

Mengiringi hantaran tersebut ialah beberapa tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan dibuat Khairy bahawa ahli parlimen Pekan itu membatalkan temu janji vaksinasi ditetapkan di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

Dalam reaksi segera Khairy kepada hantaran Najib, dia menulis di ruangan komen: “Saya dan Datuk Seri tahu, itu bukan sebabnya.”

Dia juga berharap Najib akan hadir pada temu janji yang akan ditetapkan nanti untuk membantu menggalakkan lebih ramai orang membuat pendaftaran vaksinasi, terutama di Pekan, Pahang yang menurutnya baru menerima pendaftaran seramai 13,020 orang.

Khairy juga memberi jaminan bahawa vaksin Sinovac selamat digunakan di negara ini dan tidak perlu diragui.

Dia berkata vaksin berkenaan telah mendapat penilaian daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan tahap keselamatannya sama seperti vaksin jenis Pfizer BioNtech yang telah terbukti keberkesanannya.

Malah, Khairy berkata vaksin Sinovac itu juga telah diguna pakai di seluruh dunia dan sehingga kini lebih 60 juta dos telah disuntik selain turut menerima 27 Emergency Use Authorisation di peringkat global termasuk di China, Indonesia, Turki dan Brazil.

“Ini jelas menunjukkan bahawa banyak lagi negara lain yang turut mengakui tahap keselamatan, keberkesanan dan kestabilannya untuk diambil dan diberikan kepada penduduk mereka.

“Walaupun negara kita baru sahaja memberikan suntikan vaksin Sinovac ini tetapi sehingga 15 Mac, lebih 15 peratus dos global yang diberikan adalah Sinovac,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata dos kedua vaksin Sinovac akan diberikan dalam tempoh 21 hari selepas dos pertama vaksin itu disuntik, sama seperti vaksin jenis Pfizer BioNTech sebelum ini. Mk

KJ mahu vaksin selain Pfizer untuk tambah keyakinan orang ramai

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker