Jika UMNO ingin kerjasama PH, tak perlu tunggu PRU, sokong Anwar sekarang – Amanah
Jika UMNO benar-benar boleh terima Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tidak perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tegas Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.
Sebaliknya, jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu, berbekal dengan 34 kerusi Parlimen, sudah cukup untuk UMNO menjatuhkan pentadbiran Perikatan Nasional dan membentuk kerajaan baharu.
Namun, Khalid berkata, ia adalah sebahagian daripada sepersoalan yang perlu difahami sejelas-jelasnya oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan kerjasama itu, jika ada, benar-benar stabil demi kesejahteraan rakyat.
“Namun persoalan yang perlu dijawab adalah, sekira UMNO boleh terima Anwar sebagai PM, kenapa perlu tunggu sehingga PRU 15? Dengan 34 kerusi Parlimen yang merupakan milik mereka, lakukan sahaja sekarang!
“Pendekatan PH++ yang diusahakan untuk PRU 15 bererti PH yang memimpin. Yang lain mengikut dan menambahkan lagi sokongan dan kerusi pada PH. Dalam pada itu, perlu ditanya, adakah UMNO akan sanggup main ‘second fiddle’ atau menjadi pengikut pada PH? Rasanya semua sudah tahu jawapan pada soalan itu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, ketika Anwar mengadakan sidang media berhubung perkembangan terkini berhubung hubungan antara UMNO dan PKR.
Dalam pada itu, Khalid berkata, kerjasama itu sebenarnya tidak mustahil jika UMNO benar-benar insaf, dan ingin kembali kepada jalan yang lurus.
Namun, tegasnya lagi, asas dan matlamat juga harus dipersetujui bersama, selain berprinsip dan bermaruah.
“Dan selagimana asas dan matlamat dipersetujui bersama, maka kerjasama adalah mungkin. Namun untuk ianya berlaku, secara realitinya, semestinya UMNO perlu berubah dan tidak lagi dilihat sebagai pengamal politik rasuah dan korup.
“Sekiranya benar UMNO telah insaf dan ingin kembali kepada jalan yang lurus, maka semestinya kita membantunya dan bersamanya,” katanya lagi.
Namun, dalam masa sama, Khalid mempersoalkan sekiranya UMNO benar-benar berubah.
Tambahnya lagi, jika UMNO tidak berubah, tetapi masih ada usaha ke arah kerjasama itu, ia seolah-olah PH pula yang berubah.
“Sememangnya ‘reformasi politik’ yang diperjuangkan termasuk membawa perubahan kepada budaya politik lama yang diamalkan pengamal politik negara, iaitu dari politik perkauman, rasuah dan salah guna kuasa kepada politik bermaruah dan berprinsip. Tetapi, persoalannya, adakah UMNO telah berubah?
“Dan sekiranya UMNO tidak berubah dan kita tetap bersedia berkerjasama dengannya, maka tidakkah ianya bermakna bahawa kita, yang sekian lama menolak kerjasama dengan mereka, adalah pihak yang telah berubah?” soalnya lagi.
You must be logged in to post a comment.