PAS sambut ‘tawaran baru’ dan ‘pendekatan sederhana’ PN



Sebaran :

PAS menyambut baik janji Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional menawarkan “tawaran baru” untuk seluruh rakyat Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tawaran itu demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

“PAS berpegang kepada prinsip perlembagaan persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah.



“Justeru PAS menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN, dan menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk, katanya.

 

 

Hadi merujuk ucapan Muhyiddin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan yang ke-49 secara maya di Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Muhyiddin berkata PN menawarkan “perjanjian baru” untuk rakyat Malaysia, yang merangkumi untuk memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten, serta memiliki aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.



“Perikatan Nasional menawarkan ‘new deal to all Malaysians’ (tawaran baru untuk seluruh rakyat Malaysia) dan kami akan ada untuk tempoh masa yang lama. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin,” kata Muhyddin.

Pada ucapannya itu, dia juga memberi isyarat bahawa PN juga sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

PAS ketika ini bersekutu dengan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin, dan adalah sebahagian daripada gabungan PN.



Namun, terdapat tanda-tanda rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno dengan PAS yang cenderung memihak kepada Bersatu daripada gabungan kerjasama Umno-PAS yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Antara lain, ahli majlis tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran keras kepada PAS agar tidak membantu Bersatu di kerusi yang ditandingi Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pula melabelkan PAS sebagai “pelacur politik” yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.




Sebaran :


Leave a Reply