Kerusi Tanjung Piai milik UMNO pada PRU-15



Sebaran :

 

 

PONTIAN: UMNO Bahagian Tanjung Piai menegaskan kerusi Parlimen Tanjung Piai perlu digilirkan kepada UMNO sebagaimana janji yang dibuat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

Ketuanya, Datuk Jefridin Atan berkata, MCA perlu secara sukarela menyerahkan kerusi itu kepada UMNO memandangkan jumlah pengundi melayu kini telah mencapai 58 peratus berbanding kaum Cina dan India.

Katanya, terpulang kepada MCA untuk bertanding di mana-mana kerusi kosong yang ada di Johor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tetapi bukan di Tanjung Piai pada kali ini.



“Telah sampai masanya calon UMNO diberikan peluang mewakili pengundi di Parlimen Tanjung Piai dan janji Presiden UMNO hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyerahkan pelitup muka, sut pelindung diri (PPE) dan cecair nyahkuman daripada Bahagian Pembangunan Pasukan Ibu pejabat Rela kepada Anggota Rela Daerah Pontian di Tanjung Piai Resort di sini.

 

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Rela, Zubir Mustapha; Pengarah Rela Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Darman Dabang dan Penolong Pegawai Rela Daerah Pontian, Fariman Ismail.



Beliau mengulas isu pengagihan kerusi menjelang PRU-15 supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor tidak ‘terlepas pandang’ mengenai kerusi Tanjung Piai ini.

Menurutnya, UMNO Bahagian Tanjung Piai meminta tiada keputusan dibuat pada saat akhir mengenai pengagihan kerusi pada PRU ke-15.

Ditanya mengenai kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya UMNO tidak bertanding di kerusi Parlimen yang diwakili Bersatu, beliau berkata: “Mana Bersatu ada kerusi.”



Katanya, UMNO dilahirkan bagi membantu orang Melayu berbanding Bersatu yang ditubuhkan bagi memecahbelahkan undi Melayu pada PRU-14.

“Kekalahan UMNO dan BN pada PRU-14 juga berpunca daripada pelbagai fitnah yang dibuat sehingga pengundi terpedaya dengan segala janji-janji yang ditaburkan oleh pemimpin pembangkang ketika itu,” jelasnya.

Oleh itu katanya, adalah menjadi hak kepada UMNO dan BN untuk mempertahankan kerusi yang ditandingi sebelum itu walaupun ahli Parlimen telah meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.



Sehubungan dengan itu, beliau juga mengalu-alukan sekiranya Bersatu ingin bertanding di Parlimen Tanjung Piai bagi membuktikan sokongan mereka sebagaimana yang BN telah lakukan semasa PRK yang lalu.

 


Sebaran :


Leave a Reply