Vaksin: Bekas pesakit COVID-19 peroleh perlindungan tinggi

WASHINGTON: Kajian dijalankan sekumpulan saintis Icahn School of Medicine di Mount Sinai, New York mendapati bekas pesakit COVID-19 yang menerima satu dos vaksin sama ada Pfizer atau Moderna mendapat perlindungan sama atau lebih baik berbanding individu bebas jangkitan.

Hasil kajian itu diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, kelmarin.

Kajian itu membabitkan sampel darah 110 individu termasuk 67 yang belum dijangkiti, manakala bakinya adalah bekas pesakit COVID-19

Individu berkenaan diberikan vaksin Pfizer atau Moderna, berdasarkan teknologi RNA (asid ribonukleik) baharu.

Kumpulan penyelidik mendapati bekas pesakit COVID-19 yang menerima suntikan pertama menunjukkan peningkatan antibodi yang cepat dalam beberapa hari selepas vaksinasi.

Saintis berulang kali mengambil sampel darah peserta dan mendapati selepas suntikan pertama, tahap antibodi peserta yang mempunyai jangkitan sebelumnya adalah 10 hingga 45 kali lebih tinggi daripada mereka yang tidak dijangkiti.

Vaksin Moderna 94.5 peratus berkesan

Tahap antibodi individu bekas pesakit COVID-19 juga mencatatkan enam kali lebih tinggi daripada mereka yang bebas jangkitan selepas kesemua mereka diberikan suntikan dos kedua.

Kajian juga mendapati tiada kesan sampingan serius yang menyebabkan kemasukan ke hospital bagi dua kumpulan penerima vaksin itu.

Penerima vaksin hanya mengalami kesan sampingan ringan hingga sederhana seperti keletihan, sakit kepala, menggigil, sakit otot, demam dan sakit sendi.

Bagaimanapun saintis menjelaskan data terhad dan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkannya. – AFP

Gara-gara terlupa, 500 dos vaksin Moderna dibuang begitu sahaja

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker