Isu kalimah Allah, Firdaus Wong anggap bukan kekalahan Islam

Sebaran :


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah bukanlah satu kekalahan bagi umat Islam, kata pendakwah Firdaus Wong.

Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) berkata, keputusan itu sebaliknya suatu langkah ke depan untuk berdakwah.

“Ada hikmah isu kalimah Allah ini.

“Insya-Allah pasukan R&D (kaji selidik dan pembangunan) MRM akan menyiapkan artikel bagaimana untuk menggunakan nama Allah dalam Al-Kitab untuk berdakwah.



“Ini bukan kekalahan tetapi suatu langkah ke depan untuk berdakwah,” catatnya di Instagram.

Katanya pihaknya akan berkongsi cara penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab Bahasa Melayu untuk berdakwah seperti yang dibenarkan mahkamah.

“Insya-Allah bukan satu tetapi banyak yang kami akan kongsikan dengan sahabat secara bersiri,” katanya.

Selain ‘Allah’, penggunaan perkataan ‘solat’, ‘Kaabah’, dan ‘Baitullah’ juga dibenarkan mahkamah bagi tujuan pendidikan dalam kalangan komuniti Kristian.



Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam penghakiman membenarkannya berdasarkan kebebasan beragama seperti yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11, dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Kes berlarutan selama 13 tahun sejak difailkan oleh seorang wanita, Jill Ireland Lawrence yang berketurunan Melanau Sarawak pada 2008. MM


Sebaran :

Leave a Reply