Wakil rakyat DAP Sabah diminta keluar parti dan tubuh parti baru – Chan

Sebaran :


Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin mendakwa langkah sedang diatur untuk wakil rakyat meninggalkan parti itu bagi menubuhkan parti Cina tempatan baru yang akan menyokong Gabungan Rakyat Sabah.

Chan, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, mendakwa ejen, yang turut termasuk “pemimpin perniagaan terkenal”, cuba meyakinkan wakil rakyat untuk meninggalkan DAP.

“Memang benar ada ramai orang tengah atau ejen yang menghubungi beberapa wakil rakyat kami untuk meyakinkan mereka keluar parti,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak akan sebut wakil rakyat mana atau siapa ejen ini.

“Tetapi alasan mereka ialah tiada wakil rakyat Cina dalam Kabinet negeri, jadi GRS memerlukan seseorang yang boleh mewakili masyarakat Cina.

“Bagaimanapun, saya hanya boleh cakap terima kasih atas pelawaan mereka, tetapi tidak. Setakat ini, DAP Sabah masih utuh.”

Chan berkata, tiada komunikasi lanjut dengan individu terbabit selepas mereka menolaknya.

Beliau mengulas dakwaan di media sosial yang pemimpin DAP Sabah sedang berbincang dengan seorang pemimpin GSR untuk membentuk parti baru yang akan menyokong gabungan kerajaan negeri.

Spekulasi juga timbul yang wakil rakyat DAP Sabah antara kumpulan ahli politik berikutnya yang akan melompat parti selepas pembelotan di peringkat persekutuan dan negeri baru-baru ini.

Chan bagaimanapun menolak dakwaan ahli partinya mempertimbangkan idea penubuhan parti baru dan mengadakan “pertemuan rahsia” dengan GRS atas tujuan melompat parti.

“Cerita sebegini sangat hangat di pasaran sekarang. Ramai yang bercakap mengenainya dan saya tidak menolak kemungkinan seseorang sedang mereka cerita itu.

“Tidak benar DAP Sabah mengadakan pertemuan rahsia dengan seorang pemimpin tertinggi GRS. Jika ada sebarang pertemuan sekali pun, ia secara dasarnya dibuat atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat.

“Sebagai contoh, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan saya memeriksa sebuah jejambat rosak sebelum ini dengan Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin (yang juga ADUN Lamag)…jadi pertemuan sebegini dianggap pertemuan rahsia dengan seorang pemimpin tertinggi GRS?” soalnya.

Beliau berkata, malah wakil rakyat pembangkang perlu berkomunikasi dengan kerajaan GRS kadangkala, jika mereka perlu menyampaikan maklumat atau menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing.

“Tetapi, jika anda bercakap mengenai pertemuan rahsia, itu sama sekali tidak benar.”

Chan menegaskan enam ADUN dan tiga Ahli Parlimen DAP berdiri teguh bersama Warisan Plus, yang terdiri daripada pakatan longgar antara Warisan, PKR, Amanah dan Upko, selain DAP.

Katanya, dakwaan itu hanya cubaan pesaing politik untuk menyebabkan pembangkang tidak stabil dan mengalih perhatian daripada isu politik semasa.

“Semua orang tahu Umno dan PPBM tidak berada dalam keadaan baik di peringkat nasional. Jadi, walaupun GRS berkata mereka masih utuh ketika kekecohan berlaku di Semenjung, politik sentiasa dinamik.”

Pemangku ketua DAP Sabah, Frankie Poon turut menolak dakwaan itu dengan menyifatkan ia pembohongan yang disebarkan lawan mereka.

“Tiada sebab kenapa kami mahu berbuat demikian (keluar parti dan menubuhkan parti baru), tetapi tentunya saya tidak terkejut dengan cubaan pihak lawan mencetuskan ketidaktentuan politik.”

Chan berkata, tindakan DAP Sabah jelas menunjukkan kesetiaan mereka.

“Baru-baru ini, kami baru merasmikan pejabat yang juga pusat khidmat baru untuk rakyat, Dan kami juga baru mengadakan dua mesyuarat Warisan Plus.

“Pendirian DAP yang menentang katak (lompat parti) sentiasa konsisten. Perpaduan masih menjadi keutamaan dalam kalangan pembangkang walaupun pelbagai godaan yang datang kepada kami.

“Lihat apa yang kami lakukan, bukan apa yang orang katakan. Cubaan mereka menunjukkan mereka terdesak.” FMT


Sebaran :

Leave a Reply