Radzi dan Azmin menteri paling gagal, kata pensyarah UUM
Seorang pakar kajian antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menamakan Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri yang paling gagal dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, bukan sahaja golongan pertengahan dan berpendidikan mengutup Radzi selaku Menteri Pendidikan, “makcik-makcik bawang pun banyak juga mengutuk YB Menteri Pendidikan ini.”
Untuk Azmin pula, kata pensyarah UUM itu, beliau tidak tahu apa yang dibuat oleh beliau selaku Menteri Kanan Ekonomi.
“Menteri yang kedua yang saya rasa tak berapa nampak penonjolan ataupun kehadirannya ialah YB Azmin Ali, saya pun tak tahulah apa yang dia buat,” kata pensyarah UUM itu dalam temubual anjuran Pintar sempena “Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional”.
Temubual itu dibuat oleh rakan beliau dari UUM yang juga kolumnis media Pas, Dr Kamaruzzaman Yusof.
Menurut Dr Achmad Dzariean, serangan kepada Radzi bermula apabila beliau mengumumkan penutupan sekolah secara mengejut pada 20 Januari 2020 tetapi mengumumkan pembukaan sekolah balik selepas itu ketika ibu bapa bersusah payah menyediakan kelengkapan untuk pembelajaran di rumah.
“Ya, dia umumkan, saya rasa itulah keputusan yang paling buruk pernah dilakukan ya, kerana pada pandangan saya, sebagai seorang Menteri, beliau sudah tentu mempunyai maklumat, maklumat dan infomasi mengenai peningkatan kes wabak Covid-19 yang berlaku pada ketika itu, mustahil dia tidak tahu, tetapi mengapa diumumkan perkara itu secara tergesa-gesa ya?
“Saya rasa benda itu dia dah tahu lama dah, dia dah tahu lama kes akan meningkat pada period ini, sepatutnya pengumuman itu dilakukan pada awal tahun,” kata beliau.
Bagi beliau, pada ketika itu, orang ramai telah bersiap sedia dengan pelbagai peralatan sekolah, tiba-tiba diumumkan sekolah ditutup, jadi ini sebenarnya menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga hari ini,” kata beliau.
Menurut beliau, apabila murid-murid menjalani kelas di rumah melalui PDPR, sebahagiannya besarnya sudah membeli gajet tetapi tiba-tiba diumumkan pula sekolah dibuka.
“Dah beli tab, umum pulak sekolah nak buka,” kata beliau yang menceritakan kemarahan orang ramai kepada Radzi.
“Kita boleh imagine orang B40 di mana anaknya tak ada tab, anaknya tak ada kemudahan smart phone ya, terpaksa tunggu bapa balik dari kerja apa semua, kemudian buat homework tunggu bapa apa semua.
“Benda ini bukanlah satu perkara yang mudah dan ia pada padangan saya dianggap menyusahkan, menyusahkan ibu bapa, jadi oleh kerana itu banyak juga kecaman yang diterima oleh Menteri Pendidikan ini,” kata beliau.
Berkait dengan Azmin pula yang sebelum ini disenaraikan sebagai pemimpin yang paling dibenci oleh Twitter, Dr Achmad Dzariean berkata, menteri yang kedua yang beliau rasa tak berapa nampak penonjolan ataupun kehadirannya ialah Azmin Ali,
“Saya pun tak tahulah apa yang dia buat,” kata beliau dalam temubual itu.
Ia berdasar satu laporan, Malaysia sebenarnya sekarang ini berada di kedudukan yang terbawah dari segi kehadiran pelabur asing, kata beliau.
“Kalau nak compare dengan negara-negara lain saya ingat Indonesia lebih ke depan, Vietnam lebih ke depan, tetapi apa sudah jadi dengan Malaysia?
“Saya rasa semua orang tahu dengan apa yang sudah berlaku dengan keadaan ekonomi kita dengan perdagangan antarabangsa kita, dan it is a fact kan, kita kena terima hakikat ini adalah faktanya.
“Jadi saya tak nampaklah dia punya penonjolan dia sebagai seorang Menteri dan juga prestasi yang telah beliau lakukan selama dia menjadi Menteri dalam masa setahun ini ya.
“Yang nampaknya ialah dia berjaya tarik ahli-ahli PKR untuk join PM, that was his political acumen kan, kita tak boleh nafikan, itu sajalah yang berjaya tapi dari segi apa?” kata beliau lagi. MD
You must be logged in to post a comment.