Bawa kain kafan ke Korea petanda ajal
KOTA KINABALU – Hanya kain kafan menjadi satu-satunya ‘harta’ dibawa pemuda Malaysia, Allahyarham Muhammad Khairul Anas Abd Gapal, 31, yang meninggal dunia di Korea Selatan, baru-baru ini.
Menurut adik Allahyarham, Mohd. Nasrin Abd. Gapal, 28, rakan arwah yang berada di Tawau memaklumkan kain kafan itu memang sudah dibeli lebih awal sebelum Muhammad Khairul Anas berangkat ke Korea Selatan pada Disember 2019.
“Perkara ini hanya diketahui sewaktu imam Masjid Seoul ingin melakukan proses mengafankan jenazah berikutan imam meminta rakan arwah sediakan kain kafan baharu.
“Mungkin ada hikmah arwah abang bawa kain kafan sendiri dan selepas rakan-rakan arwah di sana (Korea) memeriksa beg abang, mereka jumpa kain kafan berkenaan yang dibawa dari Tawau.
“Kain kafan itulah yang digunakan untuk menguruskan jenazah abang sebelum jenazah dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.
Mohd. Nasrin berkata demikian ketika ditemui di pekarangan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menyambut jenazah abangnya semalam.
Jenazah Muhammad Khairul Anas tiba di Sabah kira-kira pukul 9.20 pagi menggunakan penerbangan Malaysia Airlines sebelum disembahyangkan dan dihantar pulang ke kampung halamannya di Kampung Icebox, Tawau melalui jalan darat.
Muhammad Khairul Anas meninggal dunia di Korea Selatan akibat sakit perut, namun punca sebenar tidak diketahui.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasrin memaklumkan dia sekeluarga sudah lebih setahun terputus hubungan dengan abangnya selepas Muhammad Khairul Anas berhijrah ke negara itu untuk bekerja di sebuah ladang selain berniaga pakaian terpakai.
Menurutnya, keluarga mengetahui keadaan terkini anak ketiga daripada sembilan beradik itu hanya selepas dimaklumkan berita kematian arwah pada 26 Februari lalu melalui seorang rakan.
Sementara itu, abang sulung arwah, Ramlee Abd. Gapal, 40, berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua badan bukan kerajaan selain 200 peniaga bundle rakyat Malaysia kerana mengumpul dana bagi menghantar pulang jenazah adiknya itu.
“Kos kebumi di Korea Selatan sebanyak RM10,000 setahun.
“Hal ini yang menyebabkan peniaga bundle yang juga rakan-rakan arwah di sana (Korea) ambil inisiatif kumpul dana,” katanya.
Terdahulu, peniaga bundle rakyat Malaysia di Korea berjaya mengumpul dana sebanyak RM76,430 bagi menampung kos penghantaran jenazah Muhammad Khairul Anas untuk dikebumikan di Sabah. K Online
[VIDEO] Aktres Bollywood Filem ‘Jai Ho’ Sana Khan Bernikah Dengan Ulama, Mufti Anas