KPN beri penghargaan 8 polis tolak rasuah sindiket judi

Kuala Lumpur: Lapan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berikutan tindakan mereka menolak sogokan ketika Operasi Dadu membanteras kegiatan judi dalam talian di ibu negara, 17 Oktober lalu.

Operasi dilakukan anggota dari Bahagian Siasatan Pencegahan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) itu susulan tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sindiket didalangi Addy Kanna dan Alvin Goh.

Abdul Hamid berkata, tindakan itu jelas menunjukkan masih ramai pegawai dan anggota polis sedar tanggungjawab yang dipikul dan menjunjung tinggi prinsip integriti dalam menggalas amanah diberikan.

“Buktinya, saya amat bangga dan berbesar hati menyampaikan sendiri surat penghargaan kepada lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari JSJ Kuala Lumpur yang menolak disogok sejumlah wang ketika operasi judi.

“Lapan anggota terbabit terdiri daripada dua kumpulan ditawarkan dengan wang tunai RM17,000 manakala kumpulan kedua pula ditawarkan wang tunai RM21,945 sebagai rasuah untuk tidak menangkap suspek terbabit, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka (menolak sogokan),” katanya ketika Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, apa yang dilakukan anggota polis terbabit harus dijadikan teladan untuk semua warga PDRM supaya tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah dan boleh merosakkan nama pasukan serta masa depan mereka sendiri.

Dalam operasi berkenaan, seramai empat daripada lapan anggota polis memeriksa tujuh lelaki warga China di ruang tamu sebuah hotel di ibu negara sebelum dua daripada mereka mendekati seorang anggota terbabit.

Seorang daripada individu itu cuba menyogok anggota polis terbabit sambil menunjukkan beg silang yang dipegangnya tetapi anggota terbabit memberi amaran kepada suspek dan dia tetap memujuk serta berdegil hendak merasuah.

Susulan itu, anggota polis terbabit menangkap kedua-dua suspek dan merampas beg silang mengandungi wang tunai RM17,000.

Dalam kejadian kedua, ketika operasi dilakukan pada hari yang sama membabitkan tiga anggota polis yang memeriksa seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki serta seorang wanita warga China.

Ketika pemeriksaan, suspek menghampiri anggota polis dan menunjukkan sejumlah wang tunai dalam satu beg dipegangnya sebelum anggota terbabit memberi amaran namun dia berdegil dan terus cuba merasuah.

Polis kemudian menangkap dua lelaki tempatan terbabit dan memeriksa beg berkenaan yang mengandungi wang tunai RM21,945.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker