Lelaki mabuk pandu Mini Cooper terbabas cuba lolos sekatan polis

BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk gagal dalam cubaan meloloskan diri daripada sekatan jalan raya apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Taman Robina, Teluk Air Tawar, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, suspek berusia 48 tahun yang menaiki kereta jenis Mini Cooper memecut keretanya semasa polis mengadakan operasi di Kilometer 10.8 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya yang menjalankan Ops Mabuk cuba menahan kereta itu sebelum suspek bertindak memecut laju.



“Bagaimanapun, kereta suspek terbabas ketika sampai di Taman Robina iaitu selepas kira-kira lima kilometer memecut laju dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di tepi jalan.

“Pemandunya cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan dan ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ dan EBA-II ke atas suspek mendapati kandungannya melebihi yang dibenarkan iaitu masing-masing 271 mg/100 ml dan 150 mg/100 ml,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Noorzainy berkata, dalam operasi sama pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, polis turut menahan enam lelaki berusia 16 hingga 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di lebuh raya itu



Transformasi bas mini jadi surau

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker