Maklumat Mesyuarat Bocor, Azmin Dilantik Sebagai TPM, Hamzah nafikan



Sebaran :

PETALING JAYA: PPBM menafikan penyebaran maklumat berhubung intipati mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang tersebar melalui WhatsApp dan Facebook.

Antara dakwaan itu adalah ahli MPT, Mohamed Azmin Ali, memohon dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan lapan lagi Ahli Parlimen akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, segala maklumat terkandung dalam sebaran itu tidak benar, palsu dan tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan mana-mana mesyuarat MPT yang berlangsung.



“PPBM akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang di sebalik penyebarannya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli PPBM,” katanya dalam kenyataan.

Selain perkara berkaitan Azmin dan Ahli Parlimen yang bakal “melompat”, terdapat juga dakwaan melalui sebaran maklumat itu bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada Julai kerana menurut presiden parti, Muhyiddin Yassin, dana sudah tersedia.

Hamzah juga didakwa mengarahkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan membawa usul supaya PAS menjadi pendamai dengan Umno, dan sebuah pasukan khas akan ditubuhkan dalam usaha memujuk Umno, sementara ahli lain diminta tidak menghentam Umno secara terbuka.



Sementara itu, seorang lagi ahli MPT, Muhammad Faiz Naaman berkata, sehingga kini, PPBM tidak pernah membuat sebarang perbincangan untuk mengadakan pilihan raya umum atau berusaha untuk mencari dana bagi mengadakannya.

“Tiada perbincangan untuk bagi arahan kepada PAS, tiada perbincangan tentang kemasukan Ahli-Ahli Parlimen baharu, tiada perbincangan hendak lantik siapa jadi timbalan perdana menteri,” kata beliau kepada FMT.

Menurut Faiz, mesyuarat MPT itu hanya membincangkan kelangsungan fokus terhadap pemerkasaan pengurusan parti, kerjasama antara teman seperjuangan dalam PN dan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.




Sebaran :


Leave a Reply