Mesyuarat MPT Bersatu malam ini tidak sah, dakwa Kadir

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu A Kadir Jasin menolak jemputan untuk hadir mesyuarat malam ini, berkata hanya pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad yang boleh memanggil mesyuarat itu diadakan.

Kadir, yang diketahui berpihak kepada Mahathir, juga mendakwa mesyuarat yang dipanggil oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bakal menyaksikan cubaan untuk mengesahkan semua pemecatan yang dilakukan tanpa persetujuan MPT terlebih dahulu.

“Saya membantah dengan sekeras-kerasnya pemanggilan Mesyuarat MPT melalui notis 2 Jun 2020 dan pengadaan mesyuarat tersebut pada 4 Jun 2020 kerana tidak menurut peraturan dan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mesyuarat ini tidak boleh dipanggil oleh presiden kerana pada pendapat saya Pengerusi (Bersatu), Dr Mahathir Mohamad, masih sah keahlian dan jawatannya sebagai pengerusi,” jelasnya.

Kadir berkata demikian pada sepucuk surat yang dikirimkannya kepada Setiausaha Kerja Bersatu, Suhaimi Yahya pada hari Rabu, sebagai balasan atas jemputan mesyuarat yang dihantar olehnya sehari sebelumnya.

Untuk rekod, Suhaimi diketahui berpihak kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun, kem Mahathir tidak mengiktiraf Suhaimi dan telah memecatnya daripada jawatan itu pada minggu lalu.

Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa beliau ialah pemangku pengerusi Bersatu yang sah dan bukannya Mahathir.

Dilaporkan Suhaimi hanya menghantar jemputan mesyuarat kepada anggota majlis MPT Bersatu yang terpilih sahaja. Antara yang dilaporkan tidak dijemput ialah Mahathir dan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

Anggota MPT Bersatu yang lain, Akhramsyah Sanusi telah dipecat daripada jawatan itu oleh Muhyiddin pada surat bertarikh 2 Jun.

Ingkar larangan ROS

Kadir menegaskan bahawa panggilan untuk bermesyuarat itu melanggar arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang diadakan sebarang aktiviti.

“Mesyuarat yang dijadualkan ini juga tidak sah kerana melanggar kenyataan media Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 16 Mac 2020 yang melarang apa juga bentuk “persidangan” parti politik sehingga 30 Jun 2020.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan tersebut pada bulan Mac lalu bagi memecahkan rantaian penularan jangkitan virus Covid-19.

Kadir juga mendakwa Muhyiddin takut untuk mengadakan mesyuarat di ibu pejabat Bersatu, yang terletak di bangunan Yayasan Selangor di Petaling Jaya.

“Mereka takut untuk berjumpa Tun (Mahathir),” katanya.

Mkini

Shahruddin letak jawatan sebagai Timbalan Menteri. Pru menanti.

Mahathir ucap selamat kembali kepada Shahruddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker