Kes Adib dipandang sepi, rakyat tagih komitmen kerajaan
Jabatan Bomba diharap tak takut bersuara untuk warga sendiri
BANGI, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menggesa, kerajaan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memberi keadilan kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau berkata demikian dalam Forum Bicara Pembela, malam ini kerana sehingga kini tiada perkembangan baharu yang positif mengenai kes kematian tersebut meskipun kerajaan telah bertukar.
“Bagaimana seorang penjawat awam yang menjalankan tugas, yang menyelamatkan keadaan dan bersabung nyawa untuk keamanan akhirnya kita lihat sampai hari ini tiada pihak dari kerajaan yang serius membelanya. Ini sangat mendukacitakan.
“Saya tidak tahu di mana lagi rakyat boleh bergantung harap jika kes ini pun tidak dapat dibela. Saya bertemu dengan keluarga arwah Adib sendiri, mereka juga sudah hilang perkataan.
“Dah pelbagai rayuan disuarakan tetapi seolah dipandang sepi oleh pihak kerajaan. Saya minta rakyat fikir jika perkara ini berlaku kepada anak-anak kita, isu ini sudah berlarutan dua tahun,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan di mana pemimpin-pemimpin yang dahulunya melaungkan perjuangan dan keadilan untuk orang Melayu.
Ahli UMNO Fokus Mantapkan Cawangan, Komitmen Tinggi Teruskan Perjuangan
“Mana mereka ketika ini. Kenapa diam dalam kes Adib. Ini satu soalan yang besar. Apakah sikap kerajaan ke atas isu ini.
“Yang kita lihat kerajaan hanya membuat kenyataan sekali lalu sahaja soal kes ini,” katanya yang kesal dengan kebisuan pemerintah.
Justeru, beliau mendesak supaya kerajaan memberikan komitmen baik dalam memberikan kenyataan rasmi atau sebagainya yang menjelaskan bahawa kes ini akan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
“Mereka yang telah dikenal pasti sebagai perusuh, yang dilepaskan sebelum ini perlu diambil tindakan. Cari mereka ini. Keluarga ini harus diberi satu harapan sama ada dalam bentuk komitmen tadi atau compensation (ganti rugi),” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin turut berharap supaya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia agar tidak takut bersuara demi warga mereka sendiri.
“Adakah mereka nak biarkan isu yang melibatkan warga mereka terbiar. Kalau hari ini dibiarkan, tidak mustahil akan berulang tragedi yang sama.
“Sehubungan itu, pihak bomba perlu bangun dan menyuarakan kepada pihak tertentu, atau kepada kementerian. Supaya mereka dapat dibela. Sekarang ini mereka tidak terbela.
“Kita juga harap rakyat tak duduk diam. Kita sebagai NGO akan terus menyuarakan perkara hatta kepada peringkat tertinggi kerana isu ini sangat kritikal,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berharap agar cadangan inkues kedua yang pernah diuar-uarkan suatu ketika dahulu tidak diteruskan.
“Satu tragedi dalam sistem kehakiman jika berlaku inkues kedua. Dan kita bimbang jika dengan inkues kedua ini diadakan sekalipun kematian Adib masih dianggap sebagai kemalangan dan bukan pembunuhan,” katanya.
Daftar MN kepada RoS tunjuk komitmen UMNO-PAS bela agama, bangsa dan negara