Bayi maut tertelan bateri alat kawalan jauh televisyen
Washington: Pilu hati seorang ibu di Texas, Amerika Syarikat, apabila bayi perempuannya meninggal dunia akibat tertelan bateri alat kawalan jauh televisyen.
Trista Hamsmith, 39, terpaksa berdepan kenyataan apabila anaknya, Reese yang berusia 17 bulan, disahkan maut, pada Disember tahun lalu.
“Kami sudah melakukan segala-galanya dan mahu semua ibu bapa melindungi anak mereka,” katanya menerusi rancangan Today.
Menceritakan semula kejadian itu, wanita itu berkata, pada mulanya dia melihat Reese menjadi pasif, walaupun kebiasaannya anaknya itu begitu aktif.
Reese kemudian menjadi lesu dan sukar bernafas sehingga dia dibawa bertemu pakar pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan mendapati terdapat jangkitan pada saluran pernafasan bayi malang itu.
Namun, tidak lama selepas itu, Hamsmith menyedari bahawa bateri kecil berbentuk bulat, pada alat kawalan jauh televisyen, hilang.
Doktor mengesahkan bayi itu tertelan bateri berkenaan sehingga menyebabkan lubang pada saluran pernafasan mangsa.
Reese sudah menjalani pembedahan Oktober tahun lalu, namun beberapa hari selepas itu dia dikejarkan semula ke hospital kerana mengalami komplikasi.
Sejak itu, Reese terpaksa bergantung hidup dengan bantuan alat pernafasan dan makan menggunakan tiub.
“Kisah ini perlu diceritakan kepada umum supaya ia tidak kembali berulang,” katanya.
Pengarah Perubatan Pembedahan Kanak-Kanak Hospital Helen DeVos, Dr Emily Durkin berkata, jika tertelan bateri berkenaan ia boleh menjejaskan saluran esofagus yang mempunyai dua saluran sempit di hujungnya.
Katanya, bateri itu tersangkut pada anak tekak dan tenaga elektrik dari bateri itu boleh terhasil serta membunuh tisu di sekelilingnya.-New York Post
Kanak-kanak 4 tahun maut tertelan paku tekan