PAS kekal bersama Umno, PPBM, selepas Zahid kirim surat putus hubungan kepada Muhyiddin

Sebaran :

 

PAS kekal dengan pendirian untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan memperkasa Perikatan Nasional (PN), selepas Umno menerusi presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengambil pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan hanya bersama dengan kerajaan PN hingga Parlimen dibubarkan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khairuddin Aman Razali berkata, PAS percaya bahawa satu-satunya kunci kemenangan bagi umat Islam dan Melayu, khususnya di Malaysia adalah bersatu-padu, tanpa mengira sama ada PPBM, Umno atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Kita tetap konsisten untuk menyatupadukan semua parti Melayu-Islam, sama ada Umno PPBM dan sebagainya seperti ditegaskan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang,.

“Kita kukuhkan MN dan memperkasakan PN. Namun apa-apa surat yang dihantar oleh Umno akan dibincangkan di peringkat pimpinan PN,” katanya kepada FMT.

“Setiap parti berhak berikan pandangan masing-masing. PAS kekal dengan pendirian sama, kita akan berusaha sebaik yang boleh untuk menyatukan umat,” katanya.

Terdahulu hari ini PPBM mengesahkan parti itu menerima surat daripada Ahmad Zahid berhubung keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 19 Feb yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan hanya bersama-sama dengan kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat Biro Politik PPBM pada petang semalam sudah membincangkan mengenai surat berkenaan dan membuat ketetapan untuk membawanya ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM petang ini.-FMT


Sebaran :

Leave a Reply