Kerajaan PN Boleh Guna SOP Ketat dan PPE, Jangan Mandulkan Demokrasi Berparlimen – Asyraf Wajidi



Sebaran :

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilihat takut atau mahu memandulkan institusi demokasi negara, kata Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Asyraf Wajdi PN akan dilihat takut dan cuba memandulkan demokrasi jika terus enggan mengadakan sidang parlimen seperti yang disarankan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada ahli-ahli parlimen untuk berbahas dan membawa isu dan masalah mereka di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Pembagai pihak termasuk Umno memang mendesak agar parlimen bersidang walaupun negara sedang berada dalam keadaan darurat.

Setakat ini kabinet Muhyiddin Yassin dilihat masih tidak cenderung untuk mengadakan sidang berkenaan walaupun Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini berpendapat ia boleh diadakan walaupun ketika darurat masih berkuat kuasa.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.



“Perlu ditegaskan bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” kata kenyataan Istana Negara pada 24 Feb lalu.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semalam memberitahu antara sebab sidang parlimen perlu ditangguhkan ialah kerana sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid.

 

Ahli parlimen sudah divaksin



Menurutnya, daripada 220 ahli parlimen yang ada sekarang 77 orang berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian ahli parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di confined area iaitu sempit dan tertutup,” katanya.

 

Malaysiakini

Bagaimanapun untuk rekod pada Dis 2020 Dewan Rakyat pernah bersidang dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk membenarkan ahli parlimen yang sedang dalam kuarantin hadir memakai peralatan perlindungan diri (PPE).



Kehadiran itu dibenarkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan ahli parlimen terbabit – dua daripada kerajaan dan seorang pembangkang – mengundi Belanjawan 2021.

Menurut Asyraf Wajdi keputusan kerajaan menangguhkan sidang parlimen bercanggah dengan titah Al-Sultan Abdullah.

Pemuda Umno katanya berpendapat parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan dapat berfungsi .



“Rakyat tentu sukar menerima alasan penangguhan parlimen dibuat (atas alasan) sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 sedangkan pasar malam, pusat beli-belah, kedai makan, restoran hatta sekolah rendah dan menengah juga dibenarkan beroperasi dalam tempoh darurat.

“Malah proses vaksinasi juga sudah dimulakan terhadap ahli-ahli parlimen,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply