Kesilapan besar dan bodoh, PH jual saham Khazanah dalam syarikat pemilik Shopee – Najib

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) melakukan kesilapan besar apabila menjual pegangan Khazanah Nasional dalam Sea Limited, syarikat yang memiliki Shopee, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam hantaran di Facebooknya Najib berkata, ketika Khazanah bawah Barisan Nasional (BN), di mana beliau menjadi pengerusi, ia melabur sebanyak USD170 juta (RM650 juta) dalam syarikat yang memiliki Shopee pada 2016.

“Syarikat itu berjaya disenaraikan di Bursa Saham New York pada 2017. Namun selepas PRU14, kerajaan PH telah jual pegangan ini pada bulan Nov 2019,” katanya.

Beliau berkata, sebagaimana dilaporkan The Edge pada 26 Nov 2019, Khazanah menjual saham dalam tujuh syarikat asing bernilai RM5.66 bilion.

“Selepas dijual PH pula, harga saham Shopee naik berganda dan pelaburan yang dibuat masa BN sebanyak RM650 juta kini bernilai USD2.9 bilion (RM12 bilion) hari ini.

“Tapi ini tidak menjadi, sebab sudah dijual PH pada tahun 2019 dan negara hilang keuntungan hampir RM10 bilion,” katanya.

Najib berkata, Channel News Asia tahun lalu melaporkan saham Sea Limited meningkat lebih daripada 1,000% sejak awal tahun 2018, memberikan nilai pasaran sebanyak SGD92.7b (RM282.3 bilion/USD69.6 bilion) pada Okt 2020.

Najib berkata, PH juga tidak pernah menjelaskan sebab mengapa saham itu dijual kerana pada masa itu Shopee semakin dikenali.

Kronologi pelaksanaan fasa PKP

“Ini seperti pelaburan Khazanah dalam syarikat gergasi e-dagang terbesar dari China, Alibaba pada tahun 2012.

“Hasilnya, Khazanah memperoleh pulangan sebanyak USD1.2 bilion (RM5 bilion) berbanding pelaburan sebanyak USD250 juta sahaja,” katanya.

Najib berkata, jumlah nilai aset Khazanah Nasional naik hampir tiga setengah kali ganda dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM115.6b pada akhir 2017 sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri.

Katanya, kadar kenaikan itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar kenaikan 66% untuk dana pelaburan Temasek Holdings milik kerajaan Singapura bagi tempoh sama.

“Masuk tangan PH, nilai aset Khazanah terus jatuh RM25b tahun 2018 dan RM19b lagi pada tahun 2019,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker