Najib tangkis kebimbangan jika kerajaan benar hospital swasta beli, beri vaksin


Najib Razak menangkis beberapa kebimbangan pengguna media sosial jika cadangan supaya kerajaan mengizinkan hospital swasta membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 dan memberikannya kepada rakyat dilaksanakan.

Beliau berkata, antara kebimbangan mereka adalah akan wujudnya risiko vaksin tiruan.

Kata Najib, beliau tidak percaya doktor swasta akan mengambil risiko menggunakan vaksin palsu atau tidak diluluskan hanya kerana mahu mengaut keuntungan “one-off”.

“Sebab mereka akan kehilangan lesen doktor dan berhadapan hukuman jenayah jika didapati bersalah. Bayangkan berapa lamanya mereka perlu untuk mendapat lesen doktor.



“Lagipun, mereka bukan tak biasa dengan memastikan ubat dan vaksin yang tulen dari pembekal sah,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan persatuan mewakili hospital swasta yang mendesak kerajaan mengizinkan ahlinya membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 dan memberikannya kepada rakyat.

Ini berikutan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dilaporkan CodeBlue sebagai berkata, tidak ada peruntukan segera bagi hospital swasta untuk membeli dan menjalankan program vaksinasi mereka sendiri.

Dalam pada itu, Najib berkata ada juga yang bimbang dan berkata vaksin melalui hospital atau klinik swasta hanya menguntungkan orang kaya sahaja.



Beliau berkata, sebenarnya penerima manfaat terbesar adalah golongan miskin.

“Skim vaksinasi swasta akan berjalan serentak dengan skim kerajaan, sama seperti sistem kesihatan awam dan swasta yang sudah wujud bersama sejak dari dulu lagi.

“Tiada paksaan untuk suruh rakyat mendapat vaksin dari pihak swasta sebab pilihan untuk mendapatnya dari pihak kerajaan masih ada,” katanya.

Beliau berkata tidak salah bagi mereka yang sanggup membayar untuk menerima vaksin di klink swasta atas faktor ia terletak lebih dekat dengan rumah atau mereka sudah selesa dengan doktor kebiasaan mereka.



“Ini hanya akan mengosongkan tempat di pusat vaksinasi kerajaan bagi mereka yang tidak mahu atau tidak sanggup menggunakan klinik swasta supaya mereka lebih cepat untuk mendapati vaksin,” katanya.

Najib juga berkata, ada yang bimbang klinik swasta tidak ada fasiliti untuk menyimpan vaksin.

Katanya, kerajaan merancang untuk menggunakan beberapa jenis jenama vaksin dan hanya vaksin daripada Pfizer sahaja yang perlu disimpan dalam keadaan “ulta-cold”.

“Vaksin jenis lain boleh disimpan sebagaimana ubat atau vaksin yang biasa digunakan klinik swasta disimpan,” katanya.



Beliau berkata, cadangan persatuan yang mewakili hospital swasta itu juga sudah diusulkannya banyak kali sebelum ini.

Katanya, sejak pelan vaksinasi negara bermula minggu lalu, anggaran 17,000 orang sudah diberikan dos pertama.

“Jika kadar ini berterusan maka tempoh masa selama 2,700 minggu atau 52 tahun akan diperlukan untuk memberi vaksin kepada 70% penduduk,” katanya. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker