Jangan cabar undang-undang negeri lagi, gesa PAS selepas keputusan ‘seks luar tabii’

 

PETALING JAYA: PAS menggesa semua pihak menghormati dan tidak mencabar undang-undang negeri selepas penghakiman Mahkamah Persekutuan yang undang-undang syariah mengenai seks luar tabii tidak berperlembagaan.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan tidak wajar akan membawa kepada implikasi tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam kenyataan.

Beliau berkata, parti itu akan meneruskan usaha untuk mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah berteraskan undang-undang lazim.

Katanya, prinsip undang-undang itu mampu mewujudkan wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim sebulat suara membenarkan permohonan seorang lelaki yang mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan itu menetapkan adalah satu kesalahan jenayah bagi umat Islam di Selangor melakukan seks di luar tabii.

Lelaki itu menghadapi tuduhan berkaitan seksyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker