[VIDEO] Al-Fatihah: Tatap Wajah Arwah Bapa Kali Terakhir Sebelum Sambung SPM

Sebaran :

Kuala Kangsar: Suasana hiba menyelubungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini, apabila van jenazah yang membawa jasad bapa kepada seorang Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu memasuki perkarangan sekolah, hari ini.

Video detik itu sempat dirakam guru bimbingan dan kaunseling sekolah Badariah Mohd Mohaidin yang memaparkan pelajar berkenaan diberi kesempatan menatap wajah bapanya yang sudah tidak bernyawa buat kali terakhir sebelum tular di media sosial.

Badariah berkata, jenazah bapa kepada Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, itu dibawa ke sekolah atas cadangan ibu pelajar terbabit memandangkan peperiksaan kertas mata pelajaran Sejarah yang dihadapi tidak memungkinkan Muhammad Haikal Iskandar menatap jenazah bapanya itu.

Katanya, bapa pelajar itu pada mulanya koma ketika dirawat di Hospital Taiping sejak kelmarin akibat komplikasi buah pinggang, hati selain jangkitan kuman dalam darah namun pelajar terbabit tidak berpeluang menziarahi arwah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Gha53OtGkAc[/embedyt]

“Arwah meninggal dunia semalam namun baru hari ini jenazah dibenarkan keluar dari hospital untuk dikebumikan. Bagaimanapun Haikal (Muhammad Haikal Iskandar) tetap ingin menduduki kertas hari ini walaupun sedia tahu ayahnya sudah tiada.

“Ketibaan van jenazah ke sekolah sememangnya untuk beri peluang kepada Haikal menatap wajah arwah buat kali terakhir memandangkan peperiksaan yang didudukinya sehingga petang.

“Jika arwah balik rumah untuk menghadiri pengebumian ayahnya memang tidak sempat, bahkan Haikal terlewat 20 minit berbanding calon lain yang sudah masuk menduduki kertas Sejarah 2 ketika menghabiskan masa menatap arwah bapanya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

MUHAMMAD Haikal Iskandar bersedih dengan kehilangan arwah bapa. FOTO Tular
MUHAMMAD Haikal Iskandar bersedih dengan kehilangan arwah bapa. FOTO Tular

 

Katanya, sebelum ketibaan van jenazah itu, Haikal ditenangkan guru-gurunya yang melihat dia menangis tanpa henti pada waktu rehat selain menyediakan bilik khas bagi dia bertenang dan melepaskan emosinya yang tidak begitu stabil.

Beliau berkata, Haikal yang mengikuti aliran Sains Kemanusiaan adalah anak sulung dari tiga beradik dengan latar belakang keluarganya adalah dari keluarga kurang berkemampuan.-HM


Sebaran :

Leave a Reply