[VIDEO] Zul Yahya Perjelas Berhentikan Anak Sekolah…Bandingkan Sijil Degree Dengan Dajal, Utamakan Ilmu Akhirat
Tindakan Bekas pelakon Zul Yahya nekad memberhentikan anak-anaknya daripada sekolah demi memberikan pendidikan agama yang lebih mendalam sebagai bekal ke akhlrat.
Jelas Zul, dia tidak menidakkan sistem persekolahan di Malaysia sebaliknya percaya pada ketentuan Qada’ dan Qadar serta rezeki Allah.“Saya dan isteri berpakat ini jalan yg terbaik.
Hari ini bukan zaman nak kejar anak dapat berapa A tapi ilmu akhirat yang masih lagi nipis.
“Mereka memang sudah diberhentikan sekolah. Apa yang dipentingkan adalah ilmu agama. Dalam agama pasti ada kejayaan, bukan di akhirat tetapi di dunia lagi,” kata Zul Yahya dalam sesi siaran langsung di Facebook baru-baru ini.
Zul yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Raihan Mohd Rodzi mempunyai enam cahaya mata dan tiga daripadanya perempuan.
“Ada yang tanya anak-anak nak makan apa nanti? Tak kasihankan anak-anak? Saya percaya pada qada dan qadar. Yakin pada rezeki.
“Dunia semakin tua takkan tak nampak, sistem yang datang kepada kita hari ini luar biasa dan ramai yang rasa boleh hidup lama.
“Saya sendiri sudah berusia 50 tahun, apa akan jadi pada 50 tahun akan datang. Bagaimana agama dalam diri anak-anak kita? Mampukah degree dan master menyelamatkan mereka daripada dajjal?” soalnya lagi.
Terdahulu, Zul berkongsi pandangannya untuk tidak meneruskan persekolahan anak-anaknya di Instagram dan Facebook hingga mencetuskan pelbagai keraguan dan provokasi.
Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami dari sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka tapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak. Insya-Allah.
“Ilmu akhirat itu lebih penting dari segala-gala ilmu,” tulisnya hingga dituduh sebagai ekstrimis agama.Mengambil contoh daripada dirinya sendiri yang tidak punyai sijil persekolahan, Zul menegaskan rezeki akan mencurah-curah sekiranya tidak putus usaha.“Sijil pada anak-anak pun belum tentu berikan kehidupan.
Saya pun SRP tak ada, menulis pun tak pandai tapi Allahuakbar, Allah bagi rezeki macam-macam bentuk.“Yang penting usaha, kalau ada sijil tapi malas tak guna juga.“Kita bukan nak tolak dunia, tapi dunia ini untuk jambatan ke akhlrat.
Harus ditekankan pendidikan agama betul-betul dalam kehidupan anak-anak,” katanya yang turut menganggap modul pembelajaran di sekolah ‘tunggang-terbalik’.
Menjengah ke ruangan komen dalam Instagramnya, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon tersebut.
Salah seorang pengikutnya dalam Instagram berkata, pelakon itu sepatutnya faham tentang konsep pendidikan pada peringkat sekolah kerana itu juga merangkumi ilmu untuk kegunaan di akhirat.
“Harapnya kita tidak salah faham dan ekstrem. Hantar ke sekolah (anak) juga merangkumi ilmu akhirat. Semua disiplin ilmu ialah ilmu milik Allah SWT dan boleh mendekatkan diri dengan-Nya.
“Tahniah guru-guru di sekolah yang mengajar bersungguh-sungguh anak murid mengenal Allah SWT,” ujar salah seorang pengguna Instagram.
Seorang lagi pengikutnya pula berpendapat bahawa pelakon itu sepatutnya tidak menghalang anaknya mendapatkan pendidikan di sekolah.
“Jangan halang anak untuk cerdik dunia akhirat supaya tak tertipu di dunia dan selamat di akhirat.
“Bahkan pusat tahfiz pun ada silibus. Kena seimbangkan,” ujarnya.
Zul ketika dihubungi Kosmo! berkata, pada hari ini masyarakat lebih mengejar duniawi berbanding ilmu agama yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
“Buat masa sekarang lebih baik saya letakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan buat anak-anak.
“Berapa ramai yang boleh ikut sunnah Nabi Muhammad SAW pada hari ini? Ramai orang tinggalkan al-Quran dan sunnah Rasulullah yang boleh membawa kejayaan kepada mereka,” katanya.
Ujar Zul lagi, masyarakat hari ini seolah-olah merasakan sunnah dan al-Quran sebagai satu ikutan kuno dan ketinggalan.
“Jadi ramai yang memilih cara kehidupan seperti hari ini dengan tidak mengamalkan sunnah Nabi dengan melebihkan kehidupan duniawi,” ujarnya.
Untuk rekod, Zul mendirikan rumah tangga bersama isteri, Siti Raihan Mohd. Rodzi pada Disember 2007 dan dikurniakan enam orang cahaya mata masing-masing tiga perempuan dan tiga lelaki berusia antara setahun hingga sembilan tahun
You must be logged in to post a comment.