Deejay kontroversi letak jawatan – Hitz Sarawak

Bukan sekadar memohon maaf, DJ Muhammad Yusuf Shukri yang mencetuskan kontroversi dengan seorang guru DidikTV baru-baru ini, mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai penyampai radio di Stesen Hitz Sarawak.

Peletakan jawatan deejay berkenaan yang lebih mesra dengan panggilan DJ Yusuf berkuatkuasa semalam, sebaik sahaja siasatan dalaman dijalankan ke atasnya selepas pengurusan Hits Sarawak menerima aduan daripada orang ramai.

Menurut Hitz Sarawak, DJ Yusuf telah melakukan perbuatan di luar etika stesen radio berkenaan apabila mempersenda cara seorang guru wanita menyampaikan subjek bahasa Inggeris menerusi rancangan di DidikTV.

“Penyampai radio berusia 29 tahun itu telah memperlihatkan tingkah laku kurang baik sebagai seorang penjawat profesional apabila ketawa terbahak-bahak menerusi rakaman aplikasi TikTok.

“Kami menerima peletakan jawatannya yang berkuatkuasa 22 Februari,” kata stesen radio itu.

Tindakan Yusuf memuat naik video TikTok guru DidikTV sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen dan segelintir pihak mendesak Hitz Sarawak memecatnya.

Berikutan itu, pada Jumaat lalu, penyampai radio terbabit memohon maaf secara terbuka kepada guru berkenaan dan pada masa sama, beliau digantung tugas serta merta. – MG

Leave a Reply