Sukarelawan masih berusaha selamatkan 28 paus Pilot terdampar

SOUTH ISLAND: Lebih 200 sukarelawan masih berusaha menyelamatkan 28 ikan paus Pilot yang terdampar di perairan pantai di South Island, New Zealand.

Kesemua ikan paus itu terkandas sejak Isnin dan ini merupakan percubaan kali kedua kumpulan sukarelawan itu menolak haiwan itu ke tengah laut.

Setakat ini, 21 ekor paus Pilot dilaporkan mati akibat gagal ditolak ke laut dalam.

Usaha menyelamatkan kesemua haiwan itu berdepan cabaran berikutan paus berkenaan dilaporkan cuba berenang semula ke tepi pantai.

Keadaan ini dikatakan kelakuan yang biasa dilakukan paus Pilot iaitu memasuki kawasan air cetek beberapa kali sebelum masuk semula ke laut dalam.

Sukarelawan juga membuat rantaian manusia bagi menghalang paus berkenaan naik semula ke darat.

Selain itu, mereka terpaksa memindahkan salah seekor paus ke laut lebih dalam bagi menarik perhatian pasangannya berenang ke tengah laut.

Kejadian paus Pilot terdampar bukan perkara baharu di New Zealand.

Empat tahun lalu, lebih 650 paus Pilot terdampar di Pulau Farewell Spit.

Bagaimanapun, 350 daripadanya mati dan 300 lagi berjaya diselamatkan.

Sumber:  Stuff.co.nz

Leave a Reply