Jokowi beri amaran kebakaran hutan, tompok panas dikesan

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan pihak berwajib setempat harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan kebakaran hutan akhir tahun ini.

Beliau mengeluarkan amaran itu berikutan beberapa tompok panas dikesan di Pulau Sumatera.

Negara Asia Tenggara itu mengalami beberapa kebakaran hutan tropika terbesar di luar Amazon dan Congo sejak beberapa tahun lalu.

Selain membahayakan nyawa haiwan terancam seperti orang utan dan harimau, ia juga menyebabkan jerebu teruk yang turut menjejaskan ruang udara beberapa negara berjiran.

Agensi Antara, yang memetik seorang pegawai meteorologi, melaporkan bahawa jumlah kawasan panas di wilayah Riau di Pulau Sumatera meningkat kepada 63 semalam berbanding sembilan sebelum ini.

Jokwi berkata hampir 99 peratus kebakaran hutan dilakukan oleh manusia, baik secara sengaja atau disebabkan kelalaian.

“Petani dikatakan sering menggunakan api sebagai kaedah pembersihan paling murah. Justeru, saya minta pemerintah daerah untuk menyiapkan infrastruktur pencegahan kebakaran hutan.

“Sumatera menghadapi peningkatan risiko kebakaran hutan bulan ini dan wilayah Kalimantan di Pulau Borneo serta Sulawesi lazimnya mula melihat kebakaran hutan pada Mei hingga Julai dengan puncaknya pada Ogos hingga September.

“Kebakaran ini boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan ia belum termasuk lagi kerosakan pada ekologi dan ekosistem yang ada,” katanya.

Tambah beliau, kebakaran yang dilakukan bertujuan membersihkan kawasan ladang untuk pertanian kelapa sawit, yang mana Indonesia adalah negara utama pengeluar komoditi itu di dunia.

Susulan kebakaran besar di Indonesia pada 2015, Bank Dunia menganggarkan ia menyebabkan kerosakan AS$16.1 bilion (RM65 bilion).

Sementara itu, kebakaran pada 2019 menyebabkan kerosakan dan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya AS$5.2 bilion (RM21 bilion) bersamaan dengan 0.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menurut Bank Dunia. – AGENSI

Leave a Reply