‘Tak dapat jumpa anak, tengok dewan peperiksaan pun OK…’

Kuala Nerus: “Tak nampak kelibat anak pun tak mengapa, dapat tengok dewan peperiksaan pun hati dah lega, jadilah untuk lepaskan rindu,” kata Mastura Mohamed, 51, ibu kepada seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu.

Beliau berkata, sebagai ibu, hatinya teringin sangat hendak berjumpa, memeluk anak dan memberinya kata-kata semangat terakhir sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan, namun apakan daya semua itu tidak dapat dilakukan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Memang rasa janggal dan sedih sedikit kerana kali terakhir berjumpa anak (Adib Alaudin Kamarulzaman) ialah pada 19 Januari lalu ketika dia pulang ke asrama. Selepas itu, memang tak boleh datang menziarah anak seperti biasa.

“Sesekali dia ada hubungi menggunakan telefon awam di sekolah dan peluang itu saya gunakan untuk menasihatinya agar kekal tenang sepanjang peperiksaan berlangsung, jaga kesihatan dan lakukan sehabis baik agar mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas, di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di sekolah itu mendapati tiada lagi ‘tradisi kebiasaan’ setiap kali musim peperiksaan seperti bersalaman antara anak dengan ibu bapa dan guru, malah kebanyakan ibu bapa terus beredar sebaik sahaja menghantar anak mereka.

Bagi Mohamad Hazman Ramli, 51, perasaan rindu terhadap anaknya, Muhammad Al Muhaimin terubat apabila pengurusan SMKA Dato’ Haji Abbas ada membuat majlis doa restu dan bacaan Yasin secara dalam talian, baru-baru ini.

“Anak dan kawan-kawannya nampak ceria seperti biasa, jadi perasaan bimbang itu agak reda, cuma apa yang boleh dilakukan ibu bapa ketika ini adalah mendoakan mereka agar diberi kesihatan yang baik sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan sekolah yang sangat mengambil berat soal kebajikan anak-anak di asrama dengan menjaga makan minum berkhasiat, kelas tambahan mencukupi, malah kaunseling turut diberi agar calon SPM lebih bersedia.

“Walaupun tidak dapat melakukan aktiviti solat hajat, bacaan Yasin dan menghantar makanan ke sekolah seperti mana ketika abangnya menduduki SPM tahun lalu, kami boleh melakukannya di rumah dan sumbangan boleh diberi kepada pihak sekolah untuk diagihkan nanti,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker