Nilai pasaran Safawi, Sumareh merosot

Nilai pasaran terkini bintang muda skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid dan tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh didapati menurun kesan daripada pelbagai faktor termasuk pandemik COVID-19.

Berdasarkan laman transfermarkt.com, ‘tanda harga’ Safawi jatuh daripada 300,000 euro (RM1.46 juta) kepada 200,000 euro (RM978,000) mengikut kemaskini terbaharu yang dibuat pada 30 Disember lalu.

Nilai pasaran Sumareh yang baru dikemaskini pada 11 Januari lalu pula berada pada nilai 150,000 euro (RM734,000) berbanding 275,000 (RM1.34 juta) euro sebelum ini.

Pengasas Bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata penurunan nilai pasaran dua pemain itu mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan aksi bersama kelab, prestasi semasa dan pandemik COVID-19 yang menyebabkan tiada aksi antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Dia (Safawi) tak main ketika pergi ke Portugal. Dia tak diturunkan bersama skuad senior (Portimonense), dia hanya main untuk skuad bawah 23 tahun,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

“Sumareh yang ke Thailand pun kurang bermain dan kurang beri impak kepada pasukannya. Itu antara faktor biasa yang mempengaruhi nilai pasaran pemain.

“Isu pandemik COVID-19 yang menyaksikan ketiadaan aksi Harimau Malaya lebih setahun juga memberi impak kepada nilai pasaran pemain, bukan sahaja Safawi atau Sumareh, tapi juga pemain lain.”

Selain itu, Faidauz yang juga ejen pemain berdaftar bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan kepulangan semula Safawi ke JDT dan penyertaan Sumareh bersama juara bertahan Liga Super tujuh kali berturut-turut itu bakal menaikkan semula tanda harga mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dua tonggak penting Harimau Malaya itu perlu mempamerkan aksi terbaik termasuk dalam saingan domestik dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

“Kedudukan pasukan dalam liga juga mempengaruhi nilai pasaran pemain. Jadi, mereka beruntung ada platform untuk lonjakkan balik nilai pasaran dan platform itu adalah JDT.

“JDT adalah pasukan yang stabil termasuk beraksi di ACL. Mereka ada platform, jadi tak usah risau untuk melonjak balik dengan syarat pamerkan aksi yang bagus.

“Malah, kalau kempen kelayakan Piala Dunia dapat berlangsung seperti dirancang pada Jun nanti, dan Malaysia dapat keputusan yang bagus, ia akan menaikkan nilai pasaran Safawi dan Sumareh,” katanya.-BH

Biri-biri RM1.8 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker