[VIDEO] Bekas jurugambar profesional kini jual sabun depan rumah selepas diuji sakit
KOTA BHARU: Dahulu dia yang membanting tulang menyara ayah yang tua dan adik beradik namun kini dia pula yang terpaksa mengharap ihsan mereka selepas diuji sakit sejak tujuh bulan lalu.
Itu kisah sedih yang menimpa bekas jurugambar profesional, Mohd Norhushahrulazuan Husain, 44 selepas dia disahkan menghidap penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang tahap dua, darah tinggi dan kurang garam dalam darah pada Julai tahun lalu.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=y8xG2Tj7eLA[/embedyt]Mohd Norhushahrulazuan atau lebih dikenali dengan nama Azuan Husain berkata, dia dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama 11 hari dan menjadi lemah sehingga tidak mampu bekerja sejak itu.
Dia yang selama ini menanggung lima ahli keluarga termasuk ayah, Husain Mat Resat, 71, dua adik perempuan, Nor Husmafaizam Husain, 41, dan Norhusma Shahilalaily Husain, 36 serta dua anak saudara iaitu anak kepada Husmafaizam iaitu Nur Amirah Iman Mohd Zawawi, 13 dan Nur Amirah Batrisya Mohd Zawawi, 12, kini terpaksa membebankan mereka pula selepas kesihatannya menyusut secara tiba-tiba.
“Saya terpaksa menjual semua kamera untuk tampung kos rawatan hospital dan kini kami sekeluarga hidup mengharapkan wang simpanan saya yang semakin menyusut selain duit pencen ayah sebagai polis.
“Selain itu, saya cuba menjual sabun basuh dan sabun pencuci pinggan di depan rumah bagi menampung kehidupan kami,” katanya ketika ditemui di hadapan rumahnya di Kampung Langgar, di sini.
I
Azuan berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai jurugambar profesional terutamanya majlis perkahwinan dengan pendapatan RM10,000 hingga RM20,000 semusim.
Sebagai satu-satunya anak lelaki daripada lima beradik dia menjadi pencari nafkah keluarga sejak ayahnya sakit tua manakala adik perempuannya berpisah dengan suami.
“Apabila jatuh sakit secara tiba-tiba ini, saya akui mulanya sukar untuk terima kenyataan, saya jadi sensitif dan asyik menangis, namun apabila fikir abah dan adik-adik, saya kuatkan semangat dan terima ujian Allah,” katanya.
Azuan berkata, dia memerlukan kos sekitar RM300 bagi menampung kos membeli lampin pakai buang dan ubat.
Katanya, dia kini hanya mengharapkan simpati rakan-rakan dan saudara mara yang sudi membeli sabun pakaian dan menghantar makanan serta sumbangan wang tunai selepas simpati dengan nasib yang menimpanya.