P Pinang terus saringan massa Covid-19

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan meneruskan inisiatif saringan massa Covid-19 membabitkan sektor perkilangan dan pembuatan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

“Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh perdana menteri menerusi sidang video pada Jumaat, saya telah mohon maklum balas lanjut bagi membolehkan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang melaksanakan inisiatif saringan massa membabitkan sektor perkilangan/pembuatan di negeri ini.

“Pada sesi tersebut, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ia boleh dilaksanakan namun didapati kurang sesuai dalam tempoh gelombang ketiga ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri akan meneruskan sendiri inisiatif itu supaya tindakan pengesanan kontak dan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan terutama bagi sektor pembuatan, perkilangan serta pembinaan yang menjadi penyumbang utama kewujudan kes serta kluster di negeri ini.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau berkata kerajaan negeri memberikan komitmen serta kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaannya.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan MKN Pulau Pinang bahawa bermula minggu depan, Pulau Pinang bakal menerima stok vaksin Covid-19 secara berperingkat dan akan ditempatkan di dua hospital.

“Fasa pertama membabitkan barisan hadapan yang dianggarkan melebihi 30,000 orang,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker