GRS perlu terus diperkukuh – Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

 

KOTA KINABALU, 21 Feb — Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menjadikan Sabah sebagai negeri tersohor sekiranya gabungan itu terus diperkukuh, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau meminta agar semua parti yang membentuk gabungan itu mencari titik persamaan dalam parti masing-masing dalam usaha memperkuatkan PRS.

“Kalau kita mahu kuat, kita jangan sesekali cari titik perbezaan, carilah titik persamaan yang mampu mengeratkan kerjasama… acuan GRS perlu dialu-alukan untuk memastikan Sabah terus maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahlil sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-30 secara maya malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

GRS merangkumi persepakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri ke-16 pada September lepas tahun lepas.

Ahmad Zahid berkata UMNO perlu mengutamakan rakyat berbanding persengketaan dalam politik dan kedudukannya dalam gabungan parti tidak menjejaskan perjuangan parti itu untuk terus membela nasib rakyat.

“Apa yang penting ialah rakyat, kita lupakan perbezaan pendapat atau parti. Ia adalah kesungguhan UMNO Sabah untuk menjalin kerjasama dengan semua parti kerana kita berpijak kepada realiti. Jangan ada rasa marah kepada rakan, yang penting perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kemasukan UMNO ke Sabah sejak 30 tahun lepas, termasuk menerajui kerajaan negeri selama 28 tahun membawa banyak kebaikan kepada negeri ini.

Beliau berkata kehadiran UMNO ke Sabah juga turut mendekatkan hubungan antara rakyat negeri itu dengan Semenanjung dan parti itu juga telah memberi khidmat terbaik kepada rakyat Sabah dengan tumpuan diberikan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.

”Selama tiga dekad bertapak di Sabah, ia satu tempoh yang panjang. Banyak yang kita lalui termasuk pelbagai rintangan dan semua itu mendewasakan kita,” katanya.

Leave a Reply