Peniaga Pekan Rabu mula jual barang secara online

ALOR SETAR: Meskipun status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah berubah kepada PKP Bersyarat (PKPB) di negeri Kedah, namun, penguatkuasaan larangan aktiviti rentas negeri masih memberi kesan besar kepada kebanyakan sektor khususnya ekonomi.

Tidak terkecuali, peniaga-peniaga di pusat beli-belah, Kompleks Pekan Rabu di sini yang terpaksa berdepan dengan situasi sukar ketika ini termasuk kehilangan 80 peratus sumber pendapatan harian memandangkan kebanyakan pelanggan mereka adalah dari individu dari luar Kedah yang membeli secara pukal.

Menurut Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa, dalam masa sama peniaga-peniaga Pekan Rabu bergantung hasil jualan daripada kunjungan orang luar memandangkan premis berkenaan sudah dianggap sebagai pusat tumpuan berbelanja untuk pelancong.

“Pekan Rabu mengharapkan pelancong daripada luar contohnya macam (pengunjung) Kuala Lumpur datang bermesyuarat di sini (Alor Setar) mesti mereka akan singgah Pekan Rabu yang sudah seperti pusat pelancongan, jadi bila orang luar tidak boleh masuk (Kedah) beri kesan pada peniaga-peniaga (kami) terasa sangat,” katanya.

Sehubungan itu, dalam usaha memastikan kelangsungan jualan, peniaga-peniaga di situ mengambil inisiatif menggerakkan perniagaan secara dalam talian termasuk mewujudkan “Pekan Rabu Store” dan beberapa platform lain.

Meskipun tidak menerima pelanggan secara bersemuka seperti sebelum sebelum ini, jualan dalam talian menurut mereka sedikit sebanyak membantu melariskan perniagaan masing-masing ketika larangan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan ketika ini.

Bagi peniaga kuih tradisional, Mohamad Norhakim Ismail, 23, perniagaan dalam talian yang dilakukannya jauh lebih baik berbanding jualan secara langsung di kedai di Pekan Rabu.

“Waktu PKP ini kalau beniaga dalam talian lebih bagus berbanding berniaga macam biasa sebab orang tidak boleh nak rentas negeri lagi, jadi mengharapkan online saja. Alhamdulillah penerimaan (orang ramai) agak bagus, oleh kerana ramai yang tidak boleh datang ke Pekan Rabu, maka mereka beli secara online,” kata Mohamad Norhakim.

Pengalaman yang sama dilalui peniaga pekasam dan ikan kering, Intan Diyana Yazan, 42, yang memberitahu, barangan jualannya mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelanggan.

Katanya, kebanyakan pelanggan yang berurusan dengannya menyatakan rasa puas hati dengan perkhidmatan jualan yang ditawarkan secara dalam talian.

Dalam pada itu, penglibatan lebih ramai individu atau peniaga dalam talian secara tidak langsung dapat mewujudkan satu komuniti digital yang inklusif selaras dengan pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Galakan untuk lebih ramai peniga peniaga mikro, kecik dan sederhana dalam mengguna pakai e-dagang dilihat mampu merancakkan lagi sektor perniagaan dan memudahkan proses jual beli itu sendiri.

Peniaga tudung dan kain, Nur Atikah Bakril Amran, 24, pula berkata, perniagaan secara dalam talian banyak menawarkan kemudahan kepada orang ramai khususnya ketika larangan rentas negeri dan daerah dikenakan.

Sementara itu, Ridhuwan berkata, pihaknya juga telah mengambil beberapa langkah dalam membantu peniaga di Pekan Rabu terutama dari segi pemberian diskaun bayaran sewa bulanan.

Tambahnya, selain daripada itu, beliau turut menyokong penuh usaha kerajaan persekutuan dalam pelbagai inisiatif termasuk MyDIGITAL selain usaha yang dilakukan kerajaan negeri menerusi Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK).

“Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar Kedah kerana bagi peluang kepada peniaga-peniaga untuk buat pinjaman dalam bentuk pinjaman tanpa faedah melalui UPUK.

“Kami dimaklumkan pihak UPUK akan datang lakukan pemerhatian di Pekan Rabu untuk meninjau jenis bantuan yang boleh ditawarkan kepada peniaga-peniaga di sini dan kami (koperasi) pula akan bagi insentif pemotongan sewa bulanan.

“Ketika ini kita sudah memberi potongan 30 peratus, ada lagi kemungkinan kita akan potong mungkin sehingga 50 peratus ataupun yang sesuai untuk bantu ahli,” ujar beliau.

Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia oleh kerajaan baru-baru ini berhasrat untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang menjelang tahun 2025.

Selain itu, inisiatif-inisiatif di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang.-Awani

Leave a Reply