Hubungan MN-PN diperkukuh hadapi PRU15

Muafakat Nasional (MN) akan terus memperkukuhkan hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN) di antara UMNO, Pas dan Bersatu.

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil menyifatkan peristiwa yang berlaku di Perak sebagai satu pengajaran.

“Peristiwa yang berlaku di Perak merupakan satu pengajaran, bagaimanapun kita akan bincang dan duduk bersama secara harmoni.

“Pas akan terus bersama Bersatu dan bersama dengan UMNO. Kita juga bersetuju untuk memperkukuhkan agenda bersama ketiga-tiga parti ini,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn, malam ini.

Terdahulu, Bersatu, Pas dan UMNO bersetuju mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan yang dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika pertemuan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan penyataan maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada BN di atas kekhilafan yang berlaku pada Jumaat lalu, hingga menyebabkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu, terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Teknikal MN sedia maklum dengan keputusan berhubung calon Menteri Besar Perak yang dipersetujui ketiga-tiga yang dicapai petang tadi.

Tuan Ibrahim berkata, MN turut membincangkan persediaan ketiga-tiga parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mesyuarat juga telah berbincang tentang persiapan untuk menghadapi pilihan raya bagi ketiga-tiga parti dan perkukuh hubungan ketiga-tiga parti dalam MN dan PN,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa pula membayangkan kerjasama MN dan PN boleh pergi jauh dan diperkukuhkan pada masa akan datang.

“Kita bincang bagaimana kita boleh memperkasakan lagi Muafakat dna kerjasama PN, BN dan MN menjadi satu gabungan yang boleh menyatupadukan rakyat,” katanya lagi. MG

Kita berjaya menyatukan ketiga-tiganya, PAS, UMNO & Bersatu berpisah tiada – Ayoh Chik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker