Vaksin: Kapten Hamdan individu penting bawa pulang vaksin ke Malaysia

 

Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Kapten Hamdan Che Ismail merupakan antara orang penting di sebalik ketibaan vaksin pertama Covid-19 kerana bertanggungjawab menerbangkan pesawat penumpang Airbus A330-300 ke Malaysia pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Facebook hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Kapten Hamdan.

“Terima kasih kepada Kapten Hamdan Che Ismail. Beliau adalah orang bertangungjawab yang menerbangkan pesawat A330 MAS yang membawa pulang vaksin pertama Covid-19 ke negara kita.

“Kapten Hamdan berasal dari Tumpat, Kelantan. Beliau sudah 29 tahun berkhidmat dengan MAS,” katanya.

Sementara itu, Kapten Hamdan berkata, beliau amat terharu kerana dipilih menjadi sebahagian daripada sejarah negara pada hari ini.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium, dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman.

Vaksin: Juruterbang bangga jadi sebahagian daripada sejarah negara

“Saya berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menerbangkan pesawat yang membawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 sekali gus menjadi sebahagian daripada detik bersejarah yang ditunggu rakyat Malaysia,” kata juruterbang pesawat Airbus 330-300, Kapten Hamdan Che Ismail, 49.

Terdahulu, beliau menerbangkan pesawat berkenaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech membabitkan 312,390 dos ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.

Hamdan berkata, beliau dimaklumkan mengenai tugasan penting berkenaan oleh pihak atasan pada minggu lalu.

“Dalam penerbangan ini, saya dibantu Kapten Mohd Samsurin Mohd Mustafa bersama dua anak kapal, seorang juruteknik serta seorang ‘senior manager’ MasKargo sebelum berlepas dari KLIA ke Singapura jam 6 pagi tadi.

“Kami tiba di Singapura jam 7 pagi sebelum kerja-kerja pemindahan vaksin ke dalam pesawat dan berlepas dari negara berkenaan jam 9 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamdan yang berasal dari Tumpat, Kelantan berkata, tiada persiapan khusus dilakukannya untuk menerbangkan pesawat berkenaan, hari ini.

“Penerbangan ini sama sahaja seperti penerbangan lain. Namun, ada sedikit rasa bimbang ketika menerbangkan pesawat ini tadi kerana vaksin berkenaan mempunyai jangka hayat tersendiri serta suhu perlu sentiasa dipastikan pada paras rendah.

“Bagaimanapun, saya tidak terlalu memikirkan perkara itu memandangkan jarak penerbangan ini adalah dekat selain jumlah vaksin yang dibawa bukan jumlah besar,” katanya.

Menurutnya, beliau berasa gembira kerana menjadi sebahagian daripada pihak yang terbabit dalam penghantaran kumpulan pertama vaksin terbabit.

“Saya anggap tugasan ini sebagai peluang untuk saya memberikan sumbangan dalam peristiwa bersejarah ini.

“Ia sekali gus membolehkan saya merasai perasaan membawa sesuatu yang berharga kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

 

Peluang makan tengah hari dalam Airbus A380

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker