Pengasas Sugarbook direman tujuh hari

KUALA LUMPUR: Pengasas aplikasi janji temu, Sugarbook, direman tujuh hari di Mahkamah Tinggi di Shah Alam bagi membantu siasatan dakwaan laman itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.
Tempoh reman itu bermula semalam sehingga 24 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Datuk Noorin Badaruddin selepas menyemak semula permohonan reman oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Pihak pendakwaan memohon semakan semula keputusan timbalan pendaftar mahkamah yang menolak permohonan reman semalam.
Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhammad Iskandar Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Foong Cheng Leong, T Shashi Devan dan Low Li Qun.
Shashi Devan berkata, anak guamnya tidak membantah perintah itu dan sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Ia membolehkan anak guam kami memberikan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan membuktikan dia tidak membuat kesalahan undang-undang,” katanya.
Katanya, pihaknya turut membuat permohonan supaya anak guamnya itu tidak digari dari belakang berikutan kecederaan bahu yang dialami.
Media semalam melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.
Lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang kelmarin di ibu negara.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker